RUU Akta 355: Lepas penjelasan Marang baru PKR buat pendirian

RUU Akta 355: Lepas penjelasan Marang baru PKR buat pendirian

Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail berkata pendirian berkaitan usul menambah bidang kuasa Akta Mahkamah Syariah hanya boleh ditentukan setelah ahli parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberikan penjelasan terperinci.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail berkata pendirian berkaitan usul menambah bidang kuasa Akta Mahkamah Syariah hanya boleh ditentukan setelah ahli parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberikan penjelasan terperinci.

Lebih utama katanya, pendirian dan jaminan Perdana Menteri bahawa hak-hak di bawah Perlembagaan akan dilindungi.

“Mana-mana pindaan undang-undang sedia ada mesti mematuhi dan memenuhi prinsip-prinsip murni keadilan dan kesaksamaan dalam Islam serta tidak bercanggah dengan teks dan semangat Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia.

“Justeru, PKR menggesa kerajaan pemerintah dan YB Marang untuk memandang serius pendirian di atas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PKR juga mendesak jawatankuasa khas parlimen terdiri daripada anggota parlimen Islam dan bukan Islam ditubuhkan segera untuk meleraikan kemelut dan mengesyorkan penyelesaian terbaik.

Azizah yang juga ketua pembangkang berkata, PKR mengikuti dengan teliti kemungkinan Rang Undang-undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) itu akan dibentangkan dalam tempoh segera.

Semalam, Datuk Seri Zahid Hamidi berkata usul tersebut akan dibentangkan hari ini atau esok yang merupakan hari akhir persidangan parlimen bagi penggal ini.

PKR dengan itu menegaskan kembali pendirian parti yang dikeluarkan pada 20 Oktober lalu, antaranya berkaitan keperluan mengambil kira matlamat murni Syariah (maqasid syariah) supaya setiap tindakan menjurus kepada keamanan dan keadilan.

Azizah juga berkata pemerkasaan perundangan Islam perlu dilihat dengan lebih menyeluruh dan tidak semata-mata kepada perundangan atau hukum.

Beliau juga berkata kecelaruan kefahaman masyarakat dalam isu itu telah timbul akibat tiada maklumat, perbincangan dan muafakat dengan badan-badan Islam dan ulama, termasuk dengan masyarakat bukan Islam.

“Sikap sengaja membiarkan isu RUU 355 berlarutan, terapung di parlimen tanpa sebarang usaha memberikan penjelasan atau menganjurkan perbincangan dengan wakil parti politik dan masyarakat amat mencurigakan malah lebih buruk lagi, memberi imej negatif dan tafsiran mengelirukan terhadap Islam,” katanya.

TAGS