RUU MKN : Sekali lagi taklimat kepada Majlis Raja-raja

RUU MKN : Sekali lagi taklimat kepada Majlis Raja-raja

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kerajaan akan membuat sembah taklimat sekali lagi kepada Majlis Raja-Raja berhubung Rang Undang-undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata pada masa ini, Jabatan Peguam Negara, MKN dan Jabatan Perdana Menteri sedang menyediakan peraturan-peraturan di bawah Fasal 42 RUU itu yang akan mengambil kira pandangan Majlis Raja-Raja.

“Peguam Negara (Tan Sri Mohamed Apandi Ali), MKN dan JPM telah memberikan sembah taklimat kepada mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 16 Februari lepas mengenai RUU MKN 2015.

“Majlis Raja-Raja telah ambil maklum dan minta RUU itu diperhalusi dan mewujudkan semak dan imbang bagi kestabilan dan keuntungan negara,” katanya semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat semalam.

RUU MKN 2015 yang memperuntukkan 15 kuasa khas bagi penubuhan MKN serta pasukan keselamatan mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan, telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 3 Disember lepas dan kemudian diluluskan oleh Dewan Negara pada 22 Disember.

Shahidan menjelaskan mekanisme semak dan imbang diperuntukkan dalam RUU itu bagi beberapa perkara termasuk mengenai pengisytiharan kawasan keselamatan yang perlu dibentangkan di Parlimen dengan seberapa segera.

Mengenai dakwaan bahawa RUU itu akan menghakis kuasa Majlis Raja-raja, beliau berkata ia tidak memberi kesan langsung kepada keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Majlis Raja-Raja.

“Kuasa, kedudukan dan kedaulatan Majlis Raja-Raja masih kekal seperti yang diperuntuk di bawah Perlembagaan Malaysia. Rang undang-undang ini hanya untuk mengukuhkan mekanisme pengurusan keselamatan negara dalam menghadapi ancaman keselamatan negara yang semakin dinamik dan kompleks.

“Ia saling melengkapi dan mengukuhkan perundangan sedia ada ia juga bertujuan meningkatkan perkongsian maklumat dan risikan antara entiti kerajaan dan pengisytiharan kawasan keselamatan,” jelas beliau.

TAGS