Sabah kes zika jangkitan tempatan pertama

Sabah kes zika jangkitan tempatan pertama

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan menerima laporan satu kes jangkitan virus Zika tempatan yang pertama semalam di Likas, Sabah.

Dalam kenyataan hari ini, KKM memaklumkan pesakit seorang lelaki berbangsa Dusun berusia 61 tahun itu menetap di Taman Public Jaya mula mengalami demam pada 27 Ogos lalu.

Beliau mendapatkan rawatan kali pertama di Klinik Kesihatan Luyang tiga hari selepas itu dan pada 31 Ogos, pesakit diserang demam yang lebih teruk, sakit otot serta diarrhea dan telah mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Queen Elizabeth (HQE) 2.

“Memandangkan pesakit juga mempunyai co-morbids iaitu menghidap penyakit tekanan darah tinggi, masalah pembuluh darah jantung, penyakit kronik buah pinggang, masalah batu karang dan penyakit gout, keadaan pesakit didapati agak serius ketika dirawat di Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital tersebut.

“Walaupun keputusan ujian dari Makmal Kesihatan Awam menunjukkan bahawa darah dan air kencing sampel pesakit didapati positif jangkitan Zika, namun keadaan pesakit yang agak serius kemungkinan bukan disebabkan oleh jangkitan Zika, tetapi disebabkan penyakit-penyakit lain yang dihidapi pesakit,” dipetik daripada kenyataan itu.

Sehubungan itu, KKM sedang meneruskan siasatan lanjut berkenaan sejarah perjalanan pesakit yang terkini memandangkan pesakit tidak pernah ke luar negara dalam tempoh mutakhir ini.

Untuk rekod, kes pertama wabak Zika di Malaysia dicatatkan pada 31 Ogos melibatkan seorang wanita berusia 58 tahun dari Bandar Botanik, Klang selepas pulang dari melawat anaknya di Singapura selama tiga hari bermula 19 Ogos lalu.

TAGS