Sambut kerjasama PH dan PPBM, Pasir Puteh bentuk sekretariat

Sambut kerjasama PH dan PPBM, Pasir Puteh bentuk sekretariat

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pembentukan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semalam meningkatkan semangat kerjasama di peringkat akar umbi.

Di Pasir Puteh Kelantan, sekretariat bersama pakatan baharu itu akan mula beroperasi minggu depan.

Ketua parti Amanah Negara (Amanah) kawasan Pasir Puteh Abdul Halim Mohamed berkata satu majlis perasmian akan diadakan dan tokoh-tokoh dari parti-parti utama dalam pakatan akan dijemput.

“Ketua penerangan PPBM Datuk Kamaruddin Mohd Nor telah memberi persetujuan untuk hadir ke majlis tersebut,” katanya.

Menurut Halim, di peringkat Pasir Puteh hubungan rapat empat parti dalam pakatan baharu ini telah lama terjalin dan telah banyak program bersama berjaya diadakan sebelum ini.

“Dengan perjanjian yang ditandatangani ini akan membolehkan satu kerjasama rasmi kita adakan di peringkat parlimen Pasir Puteh untuk menjadikan kerja-kerja pilihan raya lebih mantap dan berkesan,” katanya ketika berucap di majlis penubuhan cawangan Amanah Kampung Dalam Pupuh malam tadi.

Cawangan ini adalah cawangan ke 12 dalam Dun Limbongan dan sehingga ini disertai oleh 50 orang ahli.

Pada majlis itu ketua cawangan Shamsuddin Ibrahim menyerahkan borang keahlian kepada pengerusi Amanah negeri Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Turut hadir ialah timbalan pengerusi Amanah negeri Muhamad Hussain, naib pengerusi Amanah negeri Ustaz Che Ibrahim Mohamed dan ketua wanita Amanah negeri Normala Mohd Nadzar.

Semalam, Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menandatangani perjanjian kerjasama dan kerangka bersama Pakatan Harapan dan PPBM.

Kerjasama ini sepakat untuk mewujudkan gabungan parti-parti politik pembangkang sebelum PRU14 dengan tujuan untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya.

TAGS