Sampah bersepah selepas Himpunan Solidariti untuk Rohingya

Sampah bersepah selepas Himpunan Solidariti untuk Rohingya

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Jauh berbeza dengan siri himpunan BERSIH, keadaan persekitaran di lokasi program yang menyatukan Umno-Pas untuk Rohingya di ibu negara hari ini menyaksikan banyak sampah ditinggalkan bertaburan begitu sahaja.

Pemerhatian Malaysia Dateline sebaik Presiden Umno dan Presiden Pas meninggalkan Tasik Titiwangsa pada pukul 11.15 pagi tadi mendapati, ratusan bekas makanan dan minuman daripada plastik termasuk di bawah beberapa khemah disediakan dibiar tidak berkutip.

Pembaziran sumber air bersih juga berlaku apabila banyak botol mineral berisipadu 600 mililiter turut dibuang walaupun diminum dalam seteguk dua sahaja walaupun ajaran Islam melarang pembaziran selain suruhan menjaga kebersihan.

Pada masa sama, tiada pengumuman daripada pihak penganjur kedengaran supaya orang ramai memungut sampah tersebut seperti yang kerap diingatkan sebelum ini sebaik sahaja peserta himpunan BERSIH diarah bersurai.

Bahkan, tiada kelibat petugas atau sukarelawan di pihak penganjur yang dilihat membawa plastik sampah dan mengutip sisa-sisa bekas makanan dan minuman itu.

Hal ini berbeza ketika BERSIH 5 pada 19 November lalu apabila wujud sukarelawan khas yang majoritinya kaum Cina bukan beragama Islam bertindak mengutip sekecil-kecil sampah di sekitar Dataran Merdeka sehingga sepanjang jalan menuju ke KLCC semasa dan selepas berlangsungnya himpunan.

Pelarian Rohingya dilihat tidak mengendahkan sampah bertaburan di luar Stadium Titiwangsa

Sebaliknya, Malaysia Dateline mendapati hadirin tempatan beragama Islam termasuk pelarian Rohingya hanya menendang bungkusan bekas plastik itu ke tepi jika mungkin mengganggu pergerakan mereka untuk pulang ke destinasi masing-masing.

Majoriti hadirin yang berkemeja-T merah dikepalai Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos dan mereka berkemeja korporat berlogo Perkasa serta berpakaian berlambangkan Umno dan bersongkok dengan lilitan kepala ‘Maruah Melayu’ dilihat tidak peka dengan sampah di sekeliling mereka walaupun Najib sebelum itu melaung ‘Allahuakbar’ tidak kurang lapan kali sepanjang 15 minit ucapannya selepas Abdul Hadi.

Turut berada di lokasi dalam dan luar Stadium Titiwangsa adalah puluhan pelajar tahfiz yang berserban dan berjubah putih selain unit keselamatan Pas, Jabatan Amal Malaysia serta ahli Persatuan Seni Silat Cekak Hanafi.

Rakyat tempatan juga tidak kisah dengan sampah yang bersepah

 

TAGS