Sarawak mahu guna bahasa Inggeris jejaskan bahasa Melayu

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

   

Borneo hanya diberi kelonggaran mengekalkan Bahasa Inggeris selama 10 tahun sebaik sahaja menyertai Malaysia, kata  Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Zainal Abidin Borhan.

Beliau berkata, Akta Perkara 20 yang dipersetujui ketika Sarawak menyertai Malaysia tidak boleh bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan.

Perkara 152 Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa bahasa kebangsaan merupakan bahasa Melayu.

Walau bagimanapun, perlembagaan menjamin kebebasan pembelajaran dan penggunaan bahasa-bahasa lain, kecuali di atas tujuan-tujuan rasmi.

“Kelonggaran itu sebaik saja menyertai Malaysia dan sebelum beralih sepenuhnya kepada bahasa kebangsaan.

“Perlu diingat, Perkara 20 itu mestilah tidak bercanggah dengan Perkara 161/152 Perlembagaan,” katanya dalam Wacana Fikrah Ummah – Kelangsungan Bahasa Melayu dalam Pembangunan Negara di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang mahu menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan rasmi kerajaan negeri.

Zainal juga berkata, Perkara 161 dalam Perlembagaan jelas menyatakan selepas 10 tahun, iaitu pada tahun 1973 secara automatik berkuatkuasa penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di seluruh Persekutuan Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Zainal juga menyifatkan pemimpin politik di negara ini sebagai tidak serius dalam membina negara sehingga tidak dapat menerima perkara yang menjadi asas bersama.

“Malaysia sudah merdeka selama 58 tahun tetapi kita masih gagal untuk membina negara bangsa kerana terlalu banyak berpolitik,” katanya.

TAGS