Sarawak perlu diberi hak tubuh syarikat minyak, saran Dapsy

Sarawak perlu diberi hak tubuh syarikat minyak, saran Dapsy

Sarawak harus diberi autonomi untuk menubuhkan syarikat minyak dan gas sendiri agar ia mendapat lebih hak untuk menguruskan kewangan negeri dan cukai dalam industri itu.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Sarawak harus diberi autonomi untuk menubuhkan syarikat minyak dan gas sendiri agar ia mendapat lebih hak untuk menguruskan kewangan negeri dan cukai dalam industri itu.

Abdul Aziz IsaSetiausaha Publisiti Sosialis Muda DAP (DAPSY) Petra Jaya, Abdul Aziz Isa, berkata akta baru perlu digubal untuk membolehkan kerajaan negeri menubuhkan syarikat minyak dan gas yang boleh dinamakan Syarikat Gas & Petroleum Sarawak Berhad (GPS).

Katanya, proses audit syarikat kerajaan negeri itu perlu diletakkan di bawah tanggungjawab Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk mengelakkan sebarang salah laku dan pembaziran.

Beliau berkata, oleh kerana jumlah sumbangan kewangan Petronas kepada ekonomi Malaysia mencapai sehingga RM1.11 trilion dalam tempoh 40 tahun, ia dapat membantu Sarawak jika negeri mempunyai syarikat minyak sendiri.

“Cuba bayangkan, jika 20 peratus daripada RM1.11 trilion hasil Petronas yang disumbangkan kepada kerajaan Persekutuan dalam bentuk royalti itu dibayar kepada negeri ini sejak 1974, sebanyak RM222 bilion boleh digunakan untuk membangunkan Sarawak.

“Sarawak juga tidak perlu menunggu 53 tahun untuk memujuk kerajaan membina Lebuhraya Pan Borneo. Infrastruktur lebih baik, air bersih serta bekalan elektrik dan sistem perparitan yang lebih efisien dapat dibina untuk manfaat rakyat negeri ini.

“Lagipun, satu peratus daripada jumlah royalti sebanyak RM222 bilion itu boleh digunakan bagi menyelesaikan hutang kerajaan negeri kepada kerajaan Persekutuan berjumlah RM2.5 bilion,” katanya dilapor Roketkini.

Aziz turut berpendapat bahawa bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan syarikat minyak negeri itu, sebuah badan pengawasan eksekutif perlu diwujudkan untuk melapor mengenai status pengurusan, operasi dan kewangan dari semasa ke semasa kepada Menteri Kewangan.

“Jika cadangan saya ini diterima, syarikat GPS itu mestilah milik sepenuhnya kerajaan negeri dan badan pengawasan eksekutif perlu ditubuhkan bagi mengelak ketirisan dan salah guna dana berlaku.

“Penyata kewangan tahunan GPS pula mesti dibawa ke DUN Sarawak oleh Menteri Kewangan supaya salah guna kuasa dan amalan kronisme, nepotisme dan rasuah dalam pengurusan syarikat dapat dihalang.

“Dividen dan cukai daripada GPS boleh disalurkan kepada Tabung Amanah Persaraan Sarawak (TAPS) yang diuruskan kerajaan negeri. Ia bakal menjadi satu dana untuk melindungi kekayaan minyak di negeri ini untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau turut mencadangkan bahawa syarikat itu diuruskan oleh golongan profesional Sarawak sendiri dari pelbagai kaum seperti Melanau, Melayu, Cina, Iban, Bidayuh dan Orang Ulu agar ia dimiliki sepenuhnya oleh negeri Sarawak.

“Sudah tiba masanya untuk Sarawak berdiri di atas kaki sendiri dan hasil sumber asli negeri ini dikembalikan. Ia satu langkah penting bagi meningkatkan pembangunan infrastruktur dan servis untuk rakyat tempatan,” katanya.

TAGS