Sarawak beri insentif RM650,000 kepada pemenang pingat Sukma

Sarawak beri insentif RM650,000 kepada pemenang pingat Sukma

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kerajaan negeri menyampaikan insentif berjumlah RM650,000 kepada semua pemenang pingat Sukan Malaysia (Sukma) Ke-18 yang dihoskan Sarawak dari 23 hingga 31 Julai lepas.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem merasmikan majlis itu malam tadi yang juga dihadiri timbalannya Tan Sri Dr James Jemut Masing; Menteri Belia, Sukan dan Solidariti negeri Datuk Seri Michael Manyin Jawong dan Menteri Muda kementerian itu, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang juga merupakan ketua kontinjen negeri.

Pasukan boling Sarawak yang memenangi 11 pingat emas, empat perak dan satu gangsa mendapat insentif yang tertinggi, berjumlah RM163,750.

Pasukan renang dengan enam emas, tiga perak dan empat gangsa mengumpul insentif kedua terbanyak, iaitu RM64,500.

Sukan lain yang mendapat insentif yang tinggi ialah Pencak Silat dengan sumbangan enam emas dan satu perak membawa pulang RM52,000 sementara taekwondo dengan lapan emas, tiga perak dan tiga gangsa memperoleh insentif sebanyak RM48,700.

Sarawak juga muncul sebagai juara keseluruhan dalam kedua-dua sukan mempertahankan diri itu.

Dalam ucapan ringkasnya sebelum majlis penyampaian, Adenan berkata Sarawak kini muncul sebagai satu kuasa sukan yang mampu memberi cabaran dalam kejohanan sukan di dalam negara.

Beliau berkata ini adalah hasil kerja keras, komitmen dan dedikasi yang diberikan oleh kesemua atlet, jurulatih, pegawai sukan dan sokongan keseluruhan warga Sarawak.

“Kita menang kerana kamu semua ingin memberikan penghormatan kepada negeri. Kamu semua juga bersatu padu untuk menjadi yang terbaik biarpun datang daripada latar belakang kaum yang berbeza,” katanya.

Adenan juga memberikan penghargaan kepada tokoh sukan negeri yang lalu, Datuk Taha Ariffin yang bertanggungjawab menaikkan kembali mutu sukan di Sarawak.

Sementara itu, Manyin menggesa mereka yang masih layak untuk menyertai Sukma akan datang di Perak supaya terus berlatih untuk membantu Sarawak muncul sebagai juara.

Beliau berkata kerajaan negeri telah membelanjakan RM400 juta untuk membina prasarana baharu atau menaik taraf kemudahan sedia ada untuk Sukma Ke-18, yang mereka boleh menggunakan sepenuhnya.

Sarawak dengan 57 emas, 43 perak dan 59 gangsa muncul naib juara kejohanan dwitahunan itu di belakang Selangor yang mengumpul 59 emas, 73 perak dan 63 gangsa.

TAGS