Sasaran 1.1juta Rumah Mampu Milik: BN tidak tepati janji

Sasaran 1.1juta Rumah Mampu Milik: BN tidak tepati janji

Pemuda Amanah Nasional terkilan akan prestasi Umno-BN berhubung bilangan rumah mampu milik Malaysia yang tidak menepati sasaran pembinaan rumah mampu milik. Ini membuktikan kerajaan Umno-BN gagal untuk menunjukkan kemajuan yang ketara dalam membina lebih rumah mampu milik untuk rakyat Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Pemuda Amanah Nasional, Mohamad Ammar Atan menyuarakan keprihatinannya terhadap masalah kritikal yang dihadapi oleh rakyat biasa, berkenaan dengan perumahan yang mampu dimiliki.

“Adalah sangat malang bahawa kerajaan BN telah gagal menepati janjinya kepada rakyat, dengan gagal menyediakan 1.1 juta rumah mampu milik menjelang 2018.

“Dengan hanya 18 bulan lagi sebelum akhir tahun 2018, adalah sangat tidak masuk akal bagi kerajaan untuk menyediakan rumah mampu milik seperti yang dijanjikan. Ini terutamanya kerana hanya 21% daripada sasaran yang telah diselesaikan setakat ini.

“Sekalipun unit-unit yang sedang dalam pembinaan dapat diselesaikan 100% menjelang akhir tahun depan, kerajaan BN masih mengalami kekurangan sebanyak 22% daripada sasaran awal mereka,” kata Ammar.

Beliau mengulas kenyataan  Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar  di Parlimen, memberitahu  hanya 241,575 unit rumah mampu milik atau kira-kira 21.3% daripada sasaran awalnya telah siap, sehingga akhir April 2017.

Beliau juga menambah bahawa 634,235 unit atau lebih kurang 57% sedang dalam pembinaan. Baki 22% hanya di peringkat perancangan.

{loadposition myposition} Pada 2013, kerajaan berjanji untuk menyediakan 1 juta unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun, menjelang akhir tahun 2018. Tiga tahun kemudian, sasaran itu sedikit dinaikkan kepada 1.1 juta untuk memenuhi permintaan tinggi bagi perumahan yang berpatutan di kalangan rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah dan berpendapatan sederhana.

Bagaimanapun, Ammar berkata, dengan maklumat terkini tentang bilangan rumah mampu milik baru dibina di Malaysia, jelas  menunjukkan  kerajaan BN jauh dari jadual sendiri dalam memenuhi sasaran.

Di samping itu, prestasi Perumahan Rakyat Satu Malaysia (PR1MA) yang dipimpin kerajaan persekutuan juga mendedahkan satu senario yang sama.

PR1MA yang sepatutnya membina 500,000 unit rumah mampu milik menjelang 2018 juga berada di landasan yang tersasar. Dengan hanya setahun yang lalu, PR1MA telah meluluskan 267, 902 unit rumah, di mana hanya sejumlah 9,791 unit telah selesai.

Pemuda Amanah menggesa kerajaan BN agar memohon maaf secara terbuka kepada rakyat kerana gagal menyampaikan janji pilihan raya seperti yang dibuat sebelum ini. Dengan PR1MA yang mempunyai kekurangan besar sebanyak 277,693 unit bergerak ke hadapan, sasaran 1.1 juta rumah mampu milik hampir mustahil dicapai.

TAGS