Satu lagi saman fitnah menanti Bendahari Pas Pusat

Satu lagi saman fitnah menanti Bendahari Pas Pusat

Pengerusi Biro Undang-undang AMANAH (Kanun), Hanipa Maidin memberitahu satu lagi tindakan mahkamah akan dikenakan terhadap Bendahari Pas Pusat, Razman Zakaria berhubung fitnahnya kepada AMANAH.

Menurutnya, saman itu ekoran status Razman berserta poster di Facebook pada 19 Jun 2016 yang mendakwa penubuhan AMANAH khusus untuk orang Melayu sebagai proksi DAP.

“InsyaAllah, satu lagi kes dalam proses saman juga ke atas PJ (Pesuruhjaya) Perak itu berhubung ‘posting’ beliau dalam FB.

“Yang ini, InsyaAllah saya terlibat sebagai peguam yang menyaman,” ujar Ahli Parlimen Sepang itu lagi.

Poster bertajuk, ‘Sejarah yang berulang’ yang dilampirkan Pesuruhjaya Pas Perak itu juga mendakwa penubuhan Rejimen ke-10 pada zaman perang dahulu sebagai sayap kanan Parti Komunis Malaya (PKM) khusus untuk orang Melayu.

Status Razman berserta poster di Facebook pada 19 Jun 2016 mendakwa penubuhan AMANAH khusus untuk orang Melayu sebagai proksi DAP.

“Berjuang dengan jelas. Jangan bimbang dan ‘playsave’. Musuh tetap musuh,” kata Razman bersama poster yang turut memuatkan gambar ketua PKM, Chin Peng dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Selain itu, lambang Bintang Tiga, bendera PKM, DAP dan logo AMANAH juga kelihatan dalam poster perbandingan dahulu dan sekarang itu.

Kelmarin, Mahkamah Sesyen di Ipoh mendapati Razman bersalah memfitnah dan diperintah membayar RM200,000 tidak termasuk kos ganti rugi am dan ganti rugi teruk kepada bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Mahkamah memutuskan tuduhan Razman kononnya Timbalan Pengerusi AMANAH Perak itu menolak hudud, boneka DAP dan oportunis dalam kenyataan yang disiarkan di akhbar Sinar Harian, 2 Jun 2015, berunsur fitnah.

Nizar selaku plaintif diwakili Asmuni Awi manakala Razman sebagai defendan diwakili Mohd Zamri Ibrahim dan Ahmad Azhar Sharin.

Saman difailkan Nizar itu berhubung dua perenggan dalam laporan berita bertajuk, ‘Pendekatan Nizar mirip DAP’ yang mengaitkannya ‘menyokong konsep negara sekular yang diperjuangkan DAP dan bahawa dia perlu menyertai DAP’.

Ekoran keputusan Hakim D. Sunita Kaur Jessy itu, Razman perlu membayar jumlah saman tersebut dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penghakiman.

8.0
OVERALL SCORE
4 user votes x 10.0
CATEGORIES