Satu lawan satu: Pas tidak akan ikut cakap Husam, Amanah, kata Mahfodz

Satu lawan satu: Pas tidak akan ikut cakap Husam, Amanah, kata Mahfodz

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Mahfodz Mohamad

Datuk Husam Musa dan Amanah tidak mungkin dapat mempengaruhi keputusan Pas bekerjasama dengan parti pembangkang lain bagi memastikan pertandingan satu lawansatu menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua Dewan Ulama Pas Datuk Dr Mahfodz Mohamad dipetik berkata, parti Islam itu lebih besar daripada Amanah, jadi tidak mungkin mereka akan tunduk kepada parti serpihan terbabit.

“Keputusan Pas bersetuju satu-lawan-satu tidak terpengaruh dengan sesiapa, termasuklah Husam atau Amanah, kita buat keputusan sendiri.

“Kita parti besar, kita ada 1 juta lebih ahli dan Amanah berapa orang sangat dan kita nak ikut cakap dia pula tak betul.

“Kenyataan Husam tak benar, memang pada dasarnya kita setuju satu-lawan-satu, tapi mestilah ada persefahaman dengan parti-parti lain. Kita buat keputusan bukan sebab dia (Husam), itu ego dia macam itulah,” katanya seperti dilapor FMT hari ini.

Husam dilaporkan yakin pendekatan Amanah di Kelantan berjaya menekan Pas sehingga parti Islam itu sedia bekerjasama dengan parti pembangkang lain untuk memastikan pertandingan satu-lawan-satu menentang BN pada PRU14.

Berucap di majlis makan malam Amanah Terengganu semalam, bekas naib presiden Pas itu berkata, walaupun tidak jelas dengan sikap Pas, parti Islam itu mula lunak dengan idea itu.

Husam berkata demikian merujuk kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Rabu lalu yang dilaporkan memberi amaran kepada DAP dan parti pembangkang lain tidak campur tangan urusan dalaman Pas.

Jika mahu hubungan dengan parti itu dipulihkan Mahfodz berkata, kenyataan Hadi bukanlah keputusan muktamad, memandangkan ia belum dibincang dengan parti pembangkang lain.

“Kita bincang dalam mesyuarat harian Pas, termasuk cadangan satu-lawan-satu, itupun belum muktamad lagi, ada syarat-syaratnya. Kalau kita nak duduk bersama Pakatan Harapan, kita tidak menerima bulat-bulat,” katanya seperti dipetik.

TAGS