Satu logo Pakatan Harapan: DAP tidak yakin Pendaftar Pertubuhan bagi kelulusan

Satu logo Pakatan Harapan: DAP tidak yakin Pendaftar Pertubuhan bagi kelulusan


DAP berpendirian Pakatan Harapan harus mengunakan satu logo untuk menarik sokongan pengundi namun ia bergantung kepada kesediakan parti gabungan dan kelulusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Datuk Ngeh Koo HamDAP berpendirian Pakatan Harapan harus mengunakan satu logo untuk menarik sokongan pengundi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 namun ia bergantung kepada kesediakan parti gabungan dan kelulusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Timbalan Setiausaha Agung DAP Datuk Ngeh Koo Ham berkata, secara teorinya ia dilihat boleh dilakukan tetapi pada hakikatnya ia sukar dilaksanakan.

” Secara teori memang ia boleh dilakukan (satu logo) tetapi hakikatnya tidak boleh dibuat melainan RoS setuju Pakatan Harapan bergabung untuk pilihan raya,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau diminta mengulas tentang cadangan PKR menerusi kenyataan Naib Presidennya, Rafizi Ramli yang dipetik berkata parti-parti Pakatan Harapan (PKR,  DAP dan Amanah) memulakan perbincangan serius untuk menggunakan satu logo kerana jelas bahawa imej setiap parti (apabila berasingan) adalah berbeza dan menarik peratusan sokongan yang berbeza-beza.

Kenyataan Rafizi itu dibuat berdasarkan dapatan kajian terhadap pengundi baru yang menunjukkan 83 peratus pengundi muda dan pengundi kali pertama menolak BN.

Justeru Rafizi menyarankan agar Pakatan Harapan bersedia untuk mengunakan satu logo dalam menghadapi PRU14 untuk meraih undi bagi pengundi muda dan pengundi kali pertama itu.

Koo Ham yang juga Ahli Parlimen Beruas berkata, DAP mempunyai pengalaman bersama Pakatan Rakyat sebelum ini untuk mendaftarkan Pakatan Rakyat tetapi ia gagal dilakukan berkemungkinan usaha ke arah penggunaan satu logo juga akan hadapi situasi sama.

“Dulupun kita cuba daftarkan Pakatan Rakyat kerana saya salah seorang penaja bersama 15 lagi yang lain tetapi gagal didaftarkan.

“Bagi DAP sendiri, sejak kita lakukan pindaan perlembagaan DAP sudah setahun RoS tidak luluskan.

“Jadi kita tidak yakin kalau nak buat satu logo kali ini dalam Pakatan Harapan, RoS akan luluskan,” terangnya.

Selain Rafizi sebelum ini juga Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut mencadangkan semua parti pembangkang menggunakan satu nama, bendera dan logo rasmi dengan nama “Barisan Rakyat” bagi mengelakkan undi terpecah sekiranya berhadapan pertandingan satu lawan satu.

Ditanya sejauh mana kesediaan DAP sendiri untuk menerima parti Bersatu bekerjasama dalam Pakatan Harapan, Koo Ham berkata, ia masih lagi tidak dibincangkan bersama dengan Majlis Presiden Pakatan Harapan.

“DAP Perak akan adakan mesyuarat dengan parti gabungan pada 6 November depan kita ada masukkan agenda mengunakan logo sama untuk hadapi PRU.

“Untuk sementara waktu perkara ini (parti Bersatu) kita perlu berbincang dengan Majlis Presiden Pakatan Harapan melalui konvensyen bersama yang akan diadakan pada 12 November depan.

“Dulu pun kita berbincang nak tubuhkan Pakatan Rakyat (PKR,DAP,Pas). Bila Pas sudah keluar kita tubuhkan Pakatan Harapan, tetapi dengan Bersatu kita kena berbincang dulu.

“Jika permohonan itu dibuat tetapi RoS tidak luluskan jadi Pakatan Harapan dan Bersatu masing-masing parti guna logo sendiri  sebagai Barisan Pembangkang,”ujarnya yang juga Pengerusi DAP Perak.

TAGS