Satu undi untuk Pas sebenarnya satu undi untuk Umno

Satu undi untuk Pas sebenarnya satu undi untuk Umno

Tulisan ketua Pemuda Pas Muhammad Khalil Abdul Hadi yang melemparkan pelbagai tuduhan kepada DAP dan Pakatan Harapan (PH) mendapat reaksi anggota Melayu DAP yang menyifatkan parti bekas rakan politik pembangkang itu sudah terperangkap dengan mainan politik Umno.

Menurut mereka, tindak tanduk Pas setelah berpisah dari Pakatan Rakyat jelas menunjukkan parti itu cenderung memenangkan Umno-BN yang terpalit dengan skandal rasuah mega negara khususnya 1MDB.

Nor Miswary RamliPengerusi DAP Subang Jaya Nor Miswary Ramli (foto) berkata, setiap undi kepada Pas pada pilihan raya umum (PRU) akan datang pasti memberi keuntungan kepada BN.

“Ketika seluruh dunia mempersoalkan isu skandal 1MDB ciptaan BN, Pas pula melakukan yang sebaliknya. Mereka malah menyambut baik dan berpuas hati pula dengan pelan rasionalisasi 1MDB yang diberikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arul Kanda Kandasamy,” katanya.

Hubungan baik Pas-Umno juga semakin ketara apabila menolak kerjasama politik dengan PH dan mengisytihar untuk meletakkan calon di 100 kerusi parlimen.

Apa yang lebih ketara adalah kenyataan angkuh pemimpin Pas untuk menawan Selangor termasuk menawan kerusi milik Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.

“Pas hanya mahu cuba kekal berkuasa di wilayahnya sendiri seperti di Kelantan dan rela Umno/BN kekal di Putrajaya berbanding PH.

“Mereka lebih memerlukan Umno dalam strategi ‘king maker’ ini. Strategi ini jelas kepada rakyat bahawa satu undi kepada Pas adalah satu undi untuk membuka jalan kepada BN kekal bertahan,” katanya kepada Roketkini.

Dalam komentarnya, Adry Faizal menyifatkan kenyataan Khalil bahawa satu undi untuk PH bermakna satu undi untuk DAP pasti membuatkan ramai semakin keliru yang mana satu Pas yang mana satu Umno.

Dalam tulisan bertajuk ‘Alang-alang Pas meniru hujah Umno, umumkan sahaja walimahnya’, Adry menganggap strategi Pas memfokuskan serangan ke atas DAP dan memburuk-burukkan DAP dengan mempergunakan isu kaum dan agama tidaklah asing kepada Umno.

“Malangnya kini, Pas juga turut bermain propaganda yang sama, mengangkat politik kebudak-budakan dan politik huru-hara. Sehingga sudah sukar membezakan yang mana Pas dan yang mana Umno.

“Sepertinya kini, undi untuk Pas bermakna mengundi untuk meneruskan gaya politik Umno,” kata ahli jawatankuasa DAP Selangor itu.

{loadposition myposition}

Menurut Adry, sikap terdesak Pas mengikut jejak langkah Umno menyebabkan pemimpin parti itu  mencapai apa saja propaganda yang ada lalu dilambakkan kepada umum.

“Sehingga meracau mengatakan DAP menggerakkan gerakan Kristian untuk mensekularkan negara ini.

“Suatu masa dahulu, penceramah-penceramah Pas sendiri yang mengajar bahawa sekular itu bermakna ‘agama suku negara suku’, dalam erti kata lain negara tidak lagi beragama. Nah, sekarang bagaimana pula Pas boleh mengatakan sebuah gerakan agama Kristian mahu mewujudkan sebuah negara tidak beragama seperti mana yang Pas fahami?” ujar beliau.

Adry menyifatkan politik menghasut api kebencian antara umat Islam dan Kristian itu sebagai ‘politik kebudak-budakan’ dan ‘politik huru-hara’.

CATEGORIES
TAGS