Saya masih ingat lakonan Datuk Seri sebelum PRU, komen netizen

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 Tidak sampai tempoh 24 jam, status Facebook Perdana Menteri mengenai seniwati Mariani yang meninggal dunia dihujani lebih 3,800 komentar daripada pengguna media sosial itu.

Tinjauan Malaysia Dateline di laman rasmi media sosial Datuk Seri Najib itu setakat pukul 5 petang tadi mendapati rakyat dilihat menyerang pentadbiran suami Rosmah Mansor itu berdasarkan majoriti komen yang ditinggalkan netizen.

Presiden Umno itu dalam catatannya pada pukul 11.43 malam semalam berkata, “Saya masih ingat lakonan Seniwati Mariani dalam filem seperti Labu-Labi dan banyak lagi. Semoga roh Allahyarhamah dirahmati. Al-Fatihah.”

Walau bagaimanapun, majoriti ulasan didapati menyindir Najib yang juga Menteri Kewangan itu dengan paling menonjol mempersoalkan di mana janji untuk menurunkan kos sara hidup menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 2013 lalu:

“Saya masih ingat lakonan Datuk Seri sebelum PRU. Janji macam-macam turun, sekarang semua naik. Semoga Datuk Seri taubat sebelum terlambat. Al-Fatihah.”

Demikian reaksi yang dilihat paling ‘menyengat’ yang kemudiannya menjadi fenomena di dalam turutan di bahagian komen status Najib itu apabila sebahagian besar pengguna Facebook bertindak ‘copy & paste’ ungkapan tersebut.

Tidak cukup dengan itu, ramai juga dilihat bertindak ‘salin dan tampal’ komen itu secara berulang lebih 20 kali menyebabkan ruangan komen hanya bagi seorang pengguna menjadi terlalu panjang.

‘Serangan’ berupa protes majoriti netizen pada ruangan komen di status Facebook Najib itu dilihat menggambarkan kemarahan rakyat terhadap pentadbiran Najib ekoran peningkatan pelbagai kos pengangkutan dan bahan makanan menjelang tahun baharu 2016.

Selain itu, terdapat banyak lagi komen bernada sindiran lain yang dilihat mengaitkan dengan isu semasa seperti Neethy A Shukor yang menulis, “Jangan harga simen naik mencanak pulak lepas ni,” manakala Ryzall Malik hanya meninggalkan komen, “Sampah! Tetap sampah!”.

Sementara itu, Mari Menari berkata, “Sampai bila nak menipu?” dan Helmet Biru pula tidak kurang bernada pedasnya dengan berkata,” Beringatlah Datuk Seri. Mati itu pasti dan beringatlah juga janji Allah itu paling pasti.”

Reaksi marah dan kecewa netizen seperti dapat dilihat dalam deretan komen di Facebook Najib itu mungkin berkaitan dengan pelbagai keputusan kerajaan sebelum ini dalam isu membabitkan kos sara hidup yang tidak memihak kepada kepentingan rakyat.

Hal ini dapat dilihat pada kenaikan harga bahan makanan utama, pengangkutan awam dan caj utiliti ketika gaji atau pendapatan diperoleh tidak banyak mengalami peningkatan selain hutang isi rumah rakyat di negara ini yang berada pada tahap kritikal.

Antaranya, pemansuhan subsidi beras rakyat (ST15/S15) berkuatkuasa 31 Disember ini yang mengakibatkan harga RM17.50 akan naik menjadi RM23 serta pelupusan subsidi bil elektrik yang sebelum ini diperuntukkan sebanyak RM150 juta kepada golongan miskin bagi kadar bil elektrik kurang RM20.

Pemansuhan subsidi minyak masak sebanyak RM950 juta dan kenaikan harga tol di lima konsesi tol termasuk PLUS turut dibimbangi rakyat akan memberi kesan serius ke atas harga makanan dan kos pengedaran barang dan perkhidmatan.

Sementara itu, bagi golongan pekerja di sekitar Lembah Kelang pula tekanan kos sara hidup semakin terasa apabila tambang KTM Komuter naik sebanyak 58 peratus berkuatkuasa hari ini.

Dalam sektor pendidikan pula, pengurangan 95 peratus peruntukan dalam Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWPM) daripada RM200 juta kepada RM10 juta serta pemotongan dana bagi universiti awam dibimbangi banyak pihak akan menjejaskan pelajar miskin dan meningkatkan kos pengajian tinggi.

TAGS