Saya sudah sarankan RCI Memali 32 tahun lalu, kata Kit Siang

Saya sudah sarankan RCI Memali 32 tahun lalu, kata Kit Siang

Gesaan supaya ditubuhkan suruhanjaya bebas menyiasat tragedi berdarah  Memali bukanlah perkara baru malah telah disuarakan bekas Setiausaha Agung DAP Lim Kit Siang lebih 32 tahun lalu.

Bagaimanapun, Kit Siang yang kini menjawat Ketua Parlimen DAP menegaskan ia perlu diwujudkan untuk mendapatkan keadilan kepada mangsa yang terlibat dan bukannya dijadikan alat bagi memenuhi agenda parti politik tertentu.

“Pada 32 tahun lalu, saya telah mendesak kerajaan supaya sebuah suruhanjaya bebas ditubuhkan menyiasat tragedi Memali – ianya bukan masalah orang Melayu atau Islam; mahupun isu antara Umno dan Pas, tetapi masalah rakyat Malaysia yang perlu ditangani secara adil dan non-partisan,” kata dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau yang juga ahli parlimen Gelang Patah bersetuju dengan cadangan bekas timbalan perdana menteri, Tun Musa Hitam supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat tragedi berdarah itu ditubuhkan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

{loadposition myposition}

Menurut Musa, penubuhan RCI selepas PRU14 wajar bertujuan ia tidak disalahguna pihak tertentu bagi kepentingan politik.

Dalam masa yang sama kerajaan tidak perlu tergesa-gesa menubuhkan RCI memandangkan insiden tersebut telah berlaku lebih tiga dekad lalu.

“Perlu pilih masa yang sesuai untuk tubuhkan (RCI) dan mengikuti prosiding untuk pastikan penubuhannya mencapai tujuan dan bukan menjadi sekadar agenda politik jangka masa singkat.

“Bagi saya, tidak ada masalah untuk tubuhkannya asalkan ia dilakukan dengan niat yang betul untuk mencari kebenaran dan keadilan tanpa sebarang prejudis dan dilaksanakan mengikut Perlembagaan dan undang-undang negara,” kata Musa.

CATEGORIES
TAGS