Sayang sungguh pak Arab pada Najib, kata Mahathir

Sayang sungguh pak Arab pada Najib, kata Mahathir

Sehari selepas berucap di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Tun Dr Mahathir terus tampil menggesa seluruh rakyat menandatangani deklarasi menyingkirkan Najib Razak.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Sehari selepas berucap di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Tun Dr Mahathir terus tampil menggesa seluruh rakyat menandatangani deklarasi menyingkirkan Najib Razak.

Beliau memanggil Najib sebagai menggadaikan negara tetapi sukar dijatuhkan melalui undi tidak percaya di Parlimen dan tindakan di pihak Umno ekoran gejala suapan dedak.

“Saya harap kita semua tandatangan deklarasi. Mudah saja. Bubuh nama, bubuh IC. Kita kena tandatangan seberapa banyak, lebih banyak lagi baik.

“Saya tiada dedak (habuan wang). Dedak guna untuk (bagi) ayam,” ujarnya di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) malam tadi.

Menurutnya, siasatan harus dilakukan terhadap sejumlah wang yang diakui Najib diterima melalui akaun peribadi.

“Pak Arab mana nak bagi (derma)? RM2 pun tak bagi. Saya pernah minta untuk penubuhan universiti Islam, saya dapat kitab. Duit tak dapat pun. Mereka punya sayang pada Najib bagi RM2.6 bilion. Sayang sungguh.

“Bila kita tanya dari mana datang duit ini, dia mula nafi. Kalau tidak Sarawak Report lapor, saya pun tak tahu,” ujarnya.

Menganggap rakyat pada masa ini celik dengan situasi yang berlaku, Mahathir menuntut siasatan terhadap Najib berhubung skandal derma itu dilakukan.

“Rakyat bukan bodoh. Duit banyak bubuh dalam akaun peribadi buat apa? Ada sesuatu tidak kena. Kita tidak minta apa tapi minta diselidiki (kes derma),” jelasnya.

Turut menyebut tentang Rosmah Mansor, beliau mempersoal penonjolan isteri Najib dalam urusan rasmi termasuk penggunaan pesawat kerajaan.

Ujarnya, kerajaan pada masa ini tidak mempunyai wang seperti yang dapat dilihat pada pemotongan peruntukan kepada kementerian.

“La ni nak dapatkan maklumat (di jabatan kerajaan) kena (bayaran) RM10. Kerajaan tiada duit. Kementerian-kementerian disuruh potong (dana) 20 peratus,” tambah Mahathir lagi.

TAGS