Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi

Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Hujung minggu ini, pada hari Sabtu 14 Oktober 2017, Pakatan Harapan akan mengadakan Himpunan rakyat “Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi” sebagai kemuncak kepada jelajah penerangan kepada rakyat bersabit dakwaan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mengapa ia begitu penting sedangkan ada yang mengatakan isu 1MDB tidak menjadi isu pokok kepada rakyat? Kaji selidik yang dilakukan oleh pelbagai pihak menunjukkan isu utama rakyat ialah isu kos sara hidup, cukai GST dan harga barang yang mahal. Mereka seolah-olah tidak nampak apa kaitan 1MDB dengan masalah yang mereka hadapi.

Saya tidak salahkan mereka. Saya salahkan Umno BN yang cuba mengasingkan isu yang dihadapi rakyat dengan penyelewengan yang berlaku dalam 1MDB angkara Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin Umno BN yang sewaktu dengannya. Ini memang sudah dijangka. Seboleh mungkin Datuk Seri Najib dan kuncu-kuncunya mahu menutup rapat isu 1MDB.

Justeru, saya fikir ada baiknya ditulis semula secara ringkas apa skandal 1MDB dan implikasinya.

Apa 1MDB dan apa skandalnya?

i. 1MDB ialah syarikat dana pelaburan strategik negara yang dimiliki oleh Kerajaan dengan suntikan sebanyak RM1 juta sebagai modal berbayar.

ii. Diasaskan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib; diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dan beliau juga merupakan Pengerusi Lembaga Penasihat.

iii. Dana dikumpul daripada hutang dan bukan daripada keuntungan. 1MDB bergantung kepada hutang dalam bentuk pinjaman bank, bon dan sukuk sebagai modal syarikat, dengan sebahagian hutang tersebut mendapat jaminan kerajaan atau surat sokongan kerajaan. Hutang 1MDB dilaporkan melebihi RM50 bilion. Kadar faedah sahaja dianggarkan mencecah RM3 bilion setahun.

iv. 1MDB berhutang dengan beberapa dana rakyat. Antaranya ialah daripada Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) sebanyak RM4 bilion, Tabung Haji sebanyak RM2.4 bilion, Tabung Angkatan Tentera (melalui kontrak kepada Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM)) sebanyak RM2.1 bilion, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM1.72 bilion dan PERKESO sebanyak RM0.8 bilion.

v. Daripada hutang 1MDB tersebut, sejumlah lebih kurang RM39.8 bilion dijamin secara langsung atau tidak langsung oleh kerajaan (laporan PAC yang disahkan oleh Ketua Audit Negara). Kegagalan 1MDB untuk membayar hutang berkenaan akan mengakibatkan kerajaan terpaksa menanggungnya. Ia bermakna wang rakyat boleh terkorban.

vi. Sejumlah RM24.7 bilion telah diselewengkan dan hilang (menurut Tony Pua, Setiausaha Publisiti DAP dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara).

vii. Sejumlah RM2.6 bilion dan RM42 juta telah didakwa disalurkan daripada dana 1MDB ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib malah laporan Sarawak Report, Wall Street Journal dan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) mendakwa sebanyak lebih RM4.2 bilion telah masuk ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri itu.

viii. Lebih buruk lagi, melalui pengubahan wang haram, berpuluh-puluh bilion ringgit telah dicuri masuk ke dalam syarikat Jho Low dan Riza Aziz, anak kepada Datin Seri Rosmah Mansor. Wang berbilion-bilion digunakan untuk berjudi di Las Vegas, berparti dengan arak tanpa had, membeli kapal layar mewah antara termahal di dunia, membeli jet mewah, lukisan-lukisan yang tidak masuk akal harganya, barang-barang kemas, banglo dan kondominium mewah di Amerika Syarikat dan Eropah.

ix. Wang berpunca dari 1MDB juga didakwa digunakan untuk membeli seutas rantai/cincin berlian merah jambu 22-karat bernilai RM117 juta bagi Datin Seri Rosmah Mansor

x. DoJ di bawah Inisiatif Pengembalian Aset Kleptokrasi menganggap wang 1MDB telah dirompak. Mereka pada mulanya memfailkan saman penyitaan aset supaya aset dan wang dapat dikembalikan. Namun kini mereka lebih serius bertindak melaksanakan siasatan jenayah ke atas wang 1MDB yang dirompak.

xi. Sesiapa yang cuba menuntut keadilan dan pertanggungjawaban dipecat – seperti mantan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail. Tun Dr Mahathir meninggalkan Umno. Pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) disuruh bersara atau ditukar jawatan. Yang Dipertua Dewan Rakyat pula melarang sebarang soalan dan perbahasan tentang kes-kes penyelewengan 1MDB.

xii. Peguam Negara yang baru, Tan Sri Apandi Ali mengarahkan supaya semua siasatan ditutup dan enggan memberi sebarang kerjasama kepada siasatan pengubahan wang haram antarabangsa.

Apa implikasinya?

i. Pelaksanaan cukai GST yang dikenakan kepada semua tanpa kecuali akibat negara kekurangan dana. Cukai GST yang dikutip daripada rakyat bertambah setiap tahun, 2015 (bermula April) ialah RM27.01 bilion manakala 2016 meningkat naik kepada RM41.2 bilion. Ini dianggap Datuk Seri Najib sebagai penyelamat ekonomi negara sedangkan ramai melihat ia penyelamat penyelewengan 1MDB.

ii. Pemotongan subsidi barang-barang asas seperti gula, tepung dan minyak masak. Meskipun dikatakan berjaya mengurangkan defisit kerajaan namun hakikatnya ia memberi kesan kepada kenaikan harga barang dan kuasa membeli lantas membebankan rakyat. “Penjimatan” berbilion ringgit daripada pemotongan subsidi tersebut dibimbangi digunakan untuk menyelamatkan 1MDB.

iii. Peruntukan perkhidmatan awam kerajaan seperti hospital, sekolah dan universiti dicantas. Jika wang 1MDB yang diselewengkan dianggar lebih kurang RM20 bilion, sebanyak lebih 80 buah hospital dapat dibina atau PTPN boleh dihapuskan dan pendidikan percuma selama 4 tahun boleh disediakan atau sebanyak lebih 450,000 buah rumah kos rendah dapat dibina.

iv. Kadar inflasi negara hari ini adalah yang paling tinggi sejak krisis kewangan Asia 1998. Harga barang-barang keperluan asas semuanya melonjak tinggi. Mutu kehidupan rakyat nyata semakin terjejas.

v. Kehilangan keyakinan pelabur-pelabur tempatan dan asing dengan penurunan nilai ringgit secara mendadak. Semasa Pilihanraya Umum ke-13, kadar pertukaran adalah AS$1 kepada RM3.05. Selepas skandal 1MDB menggegar seluruh dunia, kini nilai ringgit menguncup sehingga RM4.30 kepada setiap AS$1, penurunan sebanyak 41% dalam jangkamasa 4 tahun sahaja. Malah mantan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz pernah menyatakan bahawa nilai matawang negara tidak akan pulih selagi isu 1MDB tidak diselesaikan.

vi. Nama baik dan maruah negara tercemar dengan gelaran sebagai kerajaan kleptokrat atau kerajaan penyamun dan pencuri wang rakyat apabila sekurang-kurangnya 9 negara menjalankan siasatan terhadap skandal 1MDB.

Kesimpulan daripada huraian di atas ialah jelas 1MDB diselubungi kecurigaan yang amat sangat, hutang yang amat berisiko yang melibatkan dana tabung rakyat, tata kelola dan pengurusan yang amat lemah dan kerajaan Umno BN yang pecah amanah lagi menyeleweng wang rakyat dana 1MDB. Amat sukar untuk disangkal bahawa ia telah memberi kesan buruk kepada rakyat dari segi kesejahteraan kehidupan diri, keluarga dan masa hadapan.

Mungkin 1MDB secara tersendiri tidak menjadi isu utama kepada rakyat namun apabila ia terkait dengan isu utama rakyat seperti kos sara hidup, barang naik, pemotongan subsidi, kadar pengangguran yang tinggi, kurang peluang pekerjaan, gaji yang rendah atau tidak naik, lambakan pekerja asing, kos perkhidmatan pengangkutan awam yang tinggi dan lain-lain lagi, maka suatu perubahan besar atau reformasi wajib dilakukan!

Perubahan besar ini tidak boleh berlaku di bawah kerajaan Umno BN yang membenarkan budaya kleptokrat dan rasuah bermaharajalela. Ia hanya boleh berlaku dengan kerajaan baharu yang menolak amalan menyamun wang rakyat, menolak amalan rasuah dan menolak budaya tamak haloba untuk diri sendiri serta kroni sambil memerah rakyat.

Pakatan Harapan berazam mewujudkan kerajaan yang adil, bersih, amanah dan cekap dalam pengurusan negara dan ekonomi. Ia bermakna tiadanya rasuah dan salahguna kuasa, tiada pembaziran dan ketirisan.

Ia bermakna penghapusan GST yang membebankan rakyat dan pengawalan harga minyak yang tidak menentu. Ia bermakna tumpuan kepada program kesejahteraan rakyat untuk meringankan kehidupan mereka yang susah.

Ini hanya boleh dicapai dengan menghapuskan rasuah dan penyelewengan. Skandal 1MDB merupakan simbol terbesarnya dan wajib disiasat hingga keadilan tertegak.

Jumpa di Padang Timur Petaling Jaya!

Syed Ibrahim Syed Noh ialah Ketua Penerangan PKR 

CATEGORIES