Sediakan dokumen agenda Melayu Islam dalam Pakatan Harapan

Sediakan dokumen agenda Melayu Islam dalam Pakatan Harapan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Angkatan Wanita Amanah Nasional (Awan) dalam pidato sempena Konvensyen Pakatan Harapan hari ini memberikan penekanan kepada agenda memperkasakan Melayu dalam gabungan parti pembangkang di negara ini.

Aiman Athirah Al Jundi Timbalan Ketua Awan, Aiman Athirah Al Jundi menyeru Pakatan Harapan supaya menyediakan dokumen agenda Melayu Islam dalam mendepani kebimbangan Melayu pada PRU14.

Beliau mencadangkan Pakatan Harapan terus menerima pakai dasar Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga iaitu Islam sebagai agama rasmi, mempertahan institusi raja dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Kalau kita abaikan ketakutan pengundi Melayu, Umno akan terus memimpin selepas PRU14,” ujarnya.

Beliau berkata, agenda Melayu Islam itu bukan bersifat rasis seperti yang diamalkan Umno-BN selama ini.

“Harap tsunami orang Melayu melanda ke Putrajaya,” tegasnya.

Terdahulu, pidato beliau terganggu sebentar apabila pihak media mengerumuni Tun Mahathir.

Bekas Perdana Menteri itu tiba di dewan konvensyen pada pukul 11.49 pagi dengan sorakan Reformasi.

Awan juga kata Aiman, mencadangkan jawatankuasa khas dibentuk bagi merangka strategi baru gerakan Melayu Bumiputra yang dianggotai semua parti yang pakar dalam pelbagai bidang.

“Jawatankuasa ini perlu kemukakan dokumen agenda baru Melayu Bumiputra untuk turun ke kawasan Melayu.

Jawatankuasa itu katanya merangkumi agenda Melayu yang mengambil kira kegagalan lepas dengan menyediakan cadangan penyelesaian yang konstruktif.

Selain iu ia perlu mengenal pasti unsur yang melemahkan bangsa dan tampil dengan solusi keharmonian bangsa mengetengahkan tokoh Melayu lslam dalam Pakatan Harapan dan Bersatu yang jauh lebih baik daripada pemimpin BN serta mengangkat isu utama rakyat akibat kegagalan kerajaan BN.

“Kalau kita gagal untuk mengeluarkan tawaran kepada Melayu Bumiputra ini, Umno akan terus berkuasa selepas PRU14,” katanya.

TAGS