Segerakan bayaran kepada pihak yang jayakan KL2017

Segerakan bayaran kepada pihak yang jayakan KL2017

Pemuda AMANAH Nasional memandang serius mengenai terdapatnya segelintir petugas, sukarelawan dan artis yang tidak memperolehi bayaran selepas menjayakan Sukan SEA 2017 (KL2017) yang berakhir pada Ogos lalu.

Pengarah Biro Sukan, Keseniaan & Kebudayaan Pemuda AMANAH Nasional, Muriza Hazrul Abdul Muhi berkata, dengan kejayaan Malaysia sebagai pemenang keseluruhan pada temasya tersebut, ia sepatutnya menjadi pemangkin kepada kerajaan untuk menyelesaikan segera segala pembayaran yang tertunggak.

“Menurut pihak The Malaysian Sea Games Organising Committee (MASOC) dalam kenyataan melalui pegawai unit media dan komunikasinya, Fahmi Omar, MASOC sudah membayar lebih 50 peratus nilai kontrak untuk persembahan pembukaan dan penutupan bagi pihak kerajaan.

“Dalam erti kata lain, pihak MASOC juga masih tergantung kurang daripada 50 peratus bayaran nilai kontrak sepatutnya yang perlu dibayar kepada agensi yang dilantik,” kata Muriza dalam kenyataan medianya.

Muriza Hazrul Abdul Muhi

Justeru sambungnya, tidak hairanlah jika terdapat segelintir pihak yang belum dilunaskan bayaran walaupun KL2017 sudah melabuhkan tirai selama 2 bulan.

“Seharusnya dengan era teknologi terkini, tiada lagi alasan untuk kerajaan melewat-lewatkan bayaran melainkan terdapat isu di sebalik tabir yang cuba disembunyikan.

“Janganlah hanya kerana ingin menempa nama di Asia Tenggara baik sebagai penganjur dan juara keseluruhan, kita mengabaikan pihak lain yang turut menjayakan KL2017 ini,” katanya.

Katanya, Rasulullah juga berpesan dalam hadisnya yang bermaksud “Berikanlah pekerja upahnya sebelum keringatnya kering” (HR. Ibnu Majah).

“Oleh yang demikian, Pemuda AMANAH Nasional mendesak agar perkara ini dapat diselesaikan segera bagi menjaga nama baik Kuala Lumpur sebagai penganjur dan pemenang keseluruhan KL2017 di mata negara-negara Asean yang lain,” kata beliau.

3.7
OVERALL SCORE
2 user votes x 5.5
CATEGORIES