Sejak bila PM jadi jurucakap Agong, soal Salahuddin

Sejak bila PM jadi jurucakap Agong, soal Salahuddin

Bukan menjadi satu kebiasaan untuk Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bagi pihak Yang di-Pertuan Agong kerana sebarang kenyataan rasmi ketua negara itu dikeluarkan oleh setiausaha sulit ataupun pejabat Istana Negara, ujar Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Bukan menjadi satu kebiasaan untuk Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bagi pihak Yang di-Pertuan Agong kerana sebarang kenyataan rasmi ketua negara itu dikeluarkan oleh setiausaha sulit ataupun pejabat Istana Negara, ujar Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

“Saya berasa agak pelik apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengeluarkan kenyataan mewakili Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bahawa baginda tidak boleh mencampuri usaha Deklarasi Rakyat yang dibuat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Saya ingin bertanya, sejak bila Dato’ Seri Najib menjadi jurucakap kepada Yang di-Pertuan Agong?” soal Salahuddin.

Menurut Salahuddin, adalah sesuatu yang pelik apabila Najib yang menjadi subjek dalam Deklarasi Rakyat dan juga menjadi pihak berkepentingan boleh mengeluarkan kenyataan mewakili Yang di-Pertuan Agong dalam isu melibatkan dirinya sendiri.

“Bagi saya, ianya suatu yang melanggari kebiasaan dan cuba memperbodohkan rakyat,” ujarnya.

Dalam satu kenyataan media empat perenggan yang dikeluarkan semalam, Najib menjelaskan hasil pertemuan Tun Mahathir dengan Yang di-Pertuan Agong berhubung Deklarasi Rakyat yang diusahakan bekas Perdana Menteri itu.

Bagaimanapun kenyataan media Perdana Menteri itu dipertikaikan banyak pihak memandangkan pertemuan Tun Mahathir dan Yang di-Pertuan Agong berlangsung di Istana Anak Bukit, Alor Setar dan bukannya di Istana Bukit Malut, Langkawi.

Kenyataan media Perdana Menteri berhubung pertemuan Tun Mahathir dan Yang di Pertuan Agong.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menganggap Najib tidak layak menjawat Perdana Menteri apabila membuat kenyataan berdasarkan fakta yang silap.

“Bagaimana fakta tempat boleh jadi tidak betul dalam kenyataan PM Najib. Fakta berkaitan dengan sesuatu kejadian atau peristiwa yang berlaku tidak seharus salah, kerana ianya dilaporkan oleh media.

“Saya agak hairan kenapa PM Najib begitu ghairah untuk mengeluarkan kenyataan berkaitan peristiwa pertemuan empat mata antara Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan Tun Dr Mahathir yang di terima mengadap pada 15 September 2016.

“Kalau pun tujuan kenyataan PM Najib untuk memperlekehkan Tun Mahathir tetapi tidak seharusnya menunjukan fakta yang salah,” ujarnya.

Menurut Mahfuz, adalah sesuatu yang memalukan apabila lokasi pertemuan antara Tun Mahathir dan Yang di-Pertuan Agong silap dinyatakan dalam kenyataan rasmi Perdana Menteri memandangkan Istana Anak Bukit dan Istana Bukit Malut dipisahkan oleh lautan.

Tambah beliau, kenyataan Perdana Menteri bahawa Deklarasi Rakyat sebagai ‘Deklarasi PBBM’ (PPBM) juga tidak tepat memandangkan ianya diusahakan oleh Gerakan Selamatkan Malaysia (GSM) yang diketuai oleh Tun Mahathir dan disertai oleh individu-induvidu rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang.

“Waktu itu PBBM (PPBM) pun belum tubuh lagi. Tan Sri Muhyidin, Datuk Seri Mukhriz dan Datuk Shafie masih lagi ahli Umno pada waktu pelancaran Deklarasi Rakyat,” ujarnya.

TAGS