Sekarang masa jaga tepi kain orang, kata pakar pengganas

Sekarang masa jaga tepi kain orang, kata pakar pengganas

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pakar kajian strategik dan keganasan berkata rakyat seharusnya peka dan mengambil tahu mengenai sebarang aktiviti atau perkembangan yang berlaku di persekitaran mereka.

Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Dr Mohd Mizan Mohd Aslam berkata rakyat juga hendaklah berwaspada terhadap gerakan dan pengembangan ideologi terutama yang mempunyai unsur-unsur pengganas.

“Sekarang kita perlu menjaga tepi kain orang, bukan lagi sebaliknya. Ancaman terhadap keselamatan nyawa dan harta benda lebih penting,” katanya kepada Bernama dalam temu bual di sini, hari ini.

Mohd Mizan yang berkelulusan ijazah falsafah kedoktoran (PhD) (Pengajian Strategik) dari Victoria University of Wellington, New Zealand, mengkhusus pada ideologi keganasan dan radikalism serta counter terrorism.

Beliau menulis pelbagai artikel dan buku berkaitan keganasan dan counter terrorism, antara buku beliau ‘The Typology Of Radicalism’ yang diterbitkan pada tahun 2012.

Mohd Mizan berkata siri pengeboman yang berlaku akhir-akhir ini membuktikan ancaman pengganas semakin jelas dan perlu dibendung.

“Mereka (pengganas) semakin berani melakukannya di tempat awam untuk menakutkan masyarakat umum. Ia tidak lain untuk menarik perhatian dan menakutkan rakyat serta pemerintah supaya perjuangan mereka difahami,” katanya.

Mengapa mereka pilih tempat awam? Sebabnya tidak lain kerana kumpulan pengganas tidak berupaya menyerang pusat-pusat pertahanan negara. Cara ini sahaja mereka mampu buat untuk menunjukkan kekuatan, katanya.

Beliau berkata kejadian pengeboman di Paris yang mengorbankan 130 nyawa, di Istanbul (15 nyawa) dan semalam di Jakarta (dua nyawa) adalah contoh strategi kumpulan pengganas untuk memberitahu kewujudan mereka.

Jika sebelum ini ancaman seperti ini hanya berlaku di Asia Barat tetapi kini menular ke rantau Asia Tenggara, tidak dapat dielakkan lagi, tambahnya.

Menurut Mohd Mizan penularan siri pengeboman itu seolah-olah ada kaitan antara satu sama lain namun beliau tidak menolak, ada kumpulan yang mengambil kesempatan untuk menonjolkan diri.

Berdasarkan pembabitan 17 rakyat Malaysia yang terbunuh dalam kegiatan militan termasuk terbaru membabitkan Mohd Amirul Rashid Abd Rahim, 26, dan Mohd Syazwan Mohd Salim, 31, baru-baru ini, beliau berkata ia adalah membimbangkan.

“Perkembangan ini menunjukkan keganasan semakin menghampiri perbatasan negara ini. Bagaimana jika kelompok yang dipengaruhi ideologi radikal Daesh dan telah menjalani latihan pulang ke Malaysia?

Mohd Mizan bertanya apakah kanak-kanak yang tidak mengerti mengenai keganasan dan diracuni pemikiran mereka sejak kecil dan direkrut oleh Daesh boleh dipersalahkan apabila terjebak dengan kumpulan tersebut?

Katanya kanak-kanak yang dipengaruhi ideologi kumpulan militan amat berbahaya dan mereka tidak takut melakukan kerosakan kerana telah didedahkan dengan aktiviti keganasan.

“Mereka membesar dengan penuh kebencian dan dendam. Matlamat hidup mereka bukan untuk menuntut ilmu tetapi membunuh musuh melalui keganasan,” katanya.

Pengalaman beliau menemu bual bekas anggota Kumpulan Militan Malaysia (KMM), Jemaah Islamiah Malaysia (JIM) dan Halaqah Patindo (Alumni Pelajar Malaysia yang menuntut di Pakistan dan India) menunjukkan anggota kumpulan tersebut mempunyai sifat radikal, ekstrem dan berani mati.

TAGS