“Sekarang payah dah penoreh hulur RM10” – Pak Long Minyak Angin

“Sekarang payah dah penoreh hulur RM10” – Pak Long Minyak Angin

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kesan kejatuhan harga getah yang dialami ribuan penoreh di Kedah termasuk di daerah Sik turut memberi tempias kepada jualan minyak angin dari rumah ke rumah.

Dikenali sebagai Pak Long Minyak Angin, beliau mengakui situasi tersebut mempengaruhi keupayaan penduduk setempat untuk membeli Minyak Berangin Panas dan Minyak Buah Pala jualannya.

Menganggap kuasa beli golongan penoreh sebagai penanda aras status kewangan mereka, beliau yang berasal dari Alor Setar itu berkata, jualan produknya laris ketika harga getah berada di tahap memuaskan sebelum ini.

“Dulu nak habiskan 10 botol dalam tempoh setengah hari mudah saja. Tak payah cakap banyak orang Kampung terus beli tapi sejak tahun lepas nampaknya keadaan penoreh semakin susah.

” Walaupun ya saya tidak menoreh tapi saya tahu keadaan depa (mereka). Saya perhati depa kasihan pun ada terutama bagi yang anak ramai itu.

“Itu sebab sekarang payah dah depa nak hulur RM10 (harga dua botol minyak),” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline di perkarangan Pejabat Amanah Parlimen Sik, lewat petang kelmarin.

Datuk kepada sembilan cucu itu memberitahu, situasi getah seperti tidak berharga tersebut turut menyebabkan pelanggan setianya sukar untuk terus membeli minyak sapu jualannya yang antara lain dapat mengurangkan sakit urat dan lenguh-lenguh sendi itu.

“Penting untuk kerajaan bantu golongan penoreh sebab bila ada lebihan pendapatan dapatlah depa berbelanja merancakkan rantaian ekonomi setempat,” tambahnya lagi.

Bagi orang ramai yang memerlukan produk minyak angin jualan Pak Long, beliau yang menetap di Alor Setar boleh dihubungi di talian 012-464 8671.

TAGS