Sekat organ parti seperti pastikan organ tubuh tidak berfungsi

Sekat organ parti seperti pastikan organ tubuh tidak berfungsi

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas akhbar rasmi parti politik yang dijual secara terbuka disifatkan sebagai memalukan serta tidak bertamadun sama sekali, tegas aktivis media, Ahmad Lutfi Othman.

Beliau berkata, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 adalah ketinggalan zaman memandangkan larangan menjual akhbar parti oposisi di pasaran terbuka adalah peraturan tidak masuk akal dan hanya berlaku di Malaysia.

“Rampasan KDN terhadap organ parti adalah tindakan primitif yang saya tentang habis-habisan sejak dahulu. Menyekat organ parti seperti memastikan organ dalam tubuh seseorang tidak berfungsi, misalnya ginjal hilang peranannya,”ujarnya.

Beliau mengulas tindakan Unit Penguatkuasaan Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran di bawah KDN merampas naskhah akhbar Amanah, Suara Keadilan dan Harakah di Larkin Jaya, Johor Bahru pada 9 Oktober lalu.

Borang yang mengandungi butiran rampasan itu menyatakan sebab dirampas oleh pegawai terbabit, Siti Mazura Mohd Zain dan Nor Fadzilah Jaafar sebagai, “Disyaki melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan”.

Mengulas lanjut, Lutfi yang juga bekas Ketua Pengarang Harakah berkata, akta pelik tersebut mengandungi pelbagai peraturan yang bersifat karut-marut.

“Akta drakonian itu ditambah-tambah ikut suka menteri yang mesti dihapuskan segera. Ia juga menghalang ahli parti daripada membeli akhbar parti masing-masing di pasaran terbuka. Ini juga satu penafian yang ketara.

“Bayangkan, dalam era langit terbuka dan kepesatan IT ini, masih ada undang-undang lapuk mengharamkan akhbar sebuah parti yang sah bertanding untuk merebut kuasa, diharamkan penjualan secara terbuka,” tegasnya pemilik buku “Lorong Sunyi, Media Bebas” itu lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, sumber memberitahu Malaysia Dateline akhbar parti pembangkang di negara ini dijual seperti menjual rokok haram.

Semakan lanjut Malaysia Dateline mendapati rampasan akhbar Amanah, Suara Keadilan dan Harakah pada 9 Oktober itu berlaku di Larkin Jaya, Johor Bahru melibatkan kedai pertama sebanyak 30 naskhah manakala 16 naskhah lagi di kedai kedua.

Untuk rekod, akhbar Harakah pernah dipancung kekerapannya daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan.

Lutfi juga sebelum ini memberitahu Harakah pernah diberi surat teguran daripada pihak KDN pada 29 September 2006 hanya kerana isi kandungan dan konsep penerbitan tidak mematuhi pemohonan asal (mock-up) yang telah diluluskan kementerian.

Operasi penerbitan dan pengedaran terhad akhbar-akhbar milik parti bukan BN selama ini hanya dibenarkan atas ehsan Menteri Dalam Negeri.

TAGS