Sekolah tak siap di Tasik Biru, BN tabur janji lagi

Sekolah tak siap di Tasik Biru, BN tabur janji lagi

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Janji yang ditaburi Barisan Nasional Sarawak berkaitan pembangunan pendidikan di negeri itu setiap kali pilihanraya negeri berlangsung hanyalah manifesto kosong dan merugikan, malah lemah dari segi pelaksanaannya.

Calon DAP bagi Kerusi DUN N.02 Tasik Biru, Mordi Bimol, berkata kegagalan manifesto BN itu adalah akibat daripada projek sekolah di Kampung Apar dekat sini yang dijanjikan BN negeri sejak tahun 2011 terbengkalai sehingga kini.

Beliau yang membuat tinjauan bersama-sama Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto di tapak pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Singai pada awal pagi ini mendapati projek berkenaan telah dilanjutkan untuk dua tahun lagi.

Katanya, ia ekoran aduan penduduk tempatan yang melihat ada kontraktor-kontraktor keluar masuk tapak sejak kebelakangan ini, seolah-olah taktik pilihanraya untuk menipu rakyat.

“Apa yang telah saya kenal pasti dari lawatan hari ini adalah sebuah syarikat kontraktor baru dari Kuching baru sahaja mengambil alih tapak projek pembinaan SMK Singai ini pada empat hari yang lepas, iaitu 25 April 2016 dari Jabatan Kerja Raya bersamaan dengan hari penamaan calon yang lalu.

“Saya dimaklumkan jangkaan tarikh siap baru adalah dua tahun dari sekarang. Ini bermakna tempoh lanjutan projek SMK Singai akan melebihi tiga tahun.

“Untuk sebuah sekolah menengah baru, rakyat Tasik Biru terpaksa menunggu tujuh tahun sebelum projek boleh siap dibina,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akibat daripada kelewatan pembinaan sekolah berkenaan, menurut Mordi, penduduk tempatan terpaksa menghantar anak mereka di sekolah-sekolah yang sudah sedia ada padat dan tidak lagi dapat menampung bilangan pelajar yang kian meningkat.

Sekolah-sekolah berkenaan ialah, SMK Paku, SMK Lake dan SMK Bau yang terletak di daerah Bau.

“Apakah menteri-menteri BN Sarawak sanggup menghantar anak-anak mereka untuk belajar di SMK Paku, SMK Lake dan SMK Bau?

“Apakah yang telah berlaku ke atas peruntukan RM45 juta dari Jabatan Perdana Menteri untuk membina SMK Singai? Berapakah yang telah dibayar kepada kontraktor sebelum ini yang telah gagal melaksanakan projek?” soalnya dipetik Roketkini.com.

Beliau menyeru pengundi Tasik Biru untuk mempertimbangkan betul-betul kuasa undi dalam tangan kali ini.

“Undilah saya untuk perubahan. Jika DAP menang di Tasik Biru, sejarah akan tercipta. Saya akan memastikan suara rakyat Tasik Biru diambil berat oleh pihak berkuasa, dan projek pembinaan SMK Singai dapat dipersiapkan secepat mungkin,” katanya.

TAGS