Sekretariat PH dan PPBM Kota Bharu dilancar Sabtu ini

Sekretariat PH dan PPBM Kota Bharu dilancar Sabtu ini

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Sekretariat Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) peringkat parlimen Kota Bharu akan dilancarkan dalam satu majlis makan malam yang akan diadakan di dewan perhimpunan Cina Kota Bharu 24 Disember ini.

Makan malam yang dianjurkan bersama Pemuda Amanah negeri Kelantan itu bakal dihadiri oleh pemimpin-pemimpin keempat-empat parti berkenaan.

Antara yang dijadualkan hadir di majlis itu ialah penasihat Amanah Kelantan Datuk Husam Musa, naib presiden Amanah Dr Mujahid Yusuf Rawa, pengerusi Amanah Kelantan Datuk Wan Rahim Wan Abdullah, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, Ketua Srikandi PPBM Anina Saadudin, bekas ahli parlimen Kota Bharu Datuk Zaid Ibrahim dan Ketua Pemuda Amanah Sany Hamzan.

Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan dalam satu kenyataan berkata gerakan menentang ketidakadilan pemerintah amat memerlukan dana kewangan yang mencukupi.

“Bagi melancarkan lagi gerak kerja pilihanraya di peringkat Pemuda Amanah Kelantan, sumbangan semua pihak amat diperlukan kerana setiap pengorbanan yang dicurahkan oleh Pemuda bukanlah sekadar memerah kudrat,keringat dan air mata, bahkan melibatkan pelbagai kos yang pastinya memerlukan dana kewangan yang bukan sedikit.

“Majlis makan malam pemuda Amanah Kelantan ini adalah salah satu inisiatif Pemuda dalam menjana kewangan tanpa membebankan Amanah Negeri Kelantan untuk membiayai gerak kerja Pemuda, bahkan tidak pernah sekalipun Pemuda membuat tuntutan dana terhadap Amanah Kelantan bagi membiayai Pemuda dalam menjalankan gerak kerja membantu Amanah Kelantan sebelum ini.

Pemuda Amanah Kelantan katanya, sentiasa komited dalam membantu Parti Amanah Negara Kelantan dalam menjayakan hampir keseluruhan program dan acara yang dijalankan oleh Amanah Kelantan dalam usaha untuk mempromosikan Amanah kepada masyarakat awam.

“Ini dibuktikan dalam penglibatan Pemuda Amanah Kelantan dalam membantu menggerakkan Amanah Kelantan seawal dari penubuhan Gerakan Harapan Baru sehinggalah kepada tertegaknya panji Amanah di bumi Kelantan ini,” katanya.

Majlis Makan Malam Pemuda Amanah Kelantan menyediakan pakej harga jualan terdiri, satu kerusi bernilai RM100, meja gangsa RM1000, meja perak RM2000, meja emas RM5000 dan meja platinum RM10,000.

Sumbangan dan pembelian ini dibuka sehingga 23 Disember.

Para penderma boleh hubungi Jeming 0199877623 atau Azizi 01140251482 atau Aina 01129309430 atau Nonie 0169816060.

TAGS