Selamatkan anak-anak, pilih kerajaan baharu PRU14

Selamatkan anak-anak, pilih kerajaan baharu PRU14

Anak-anak yang berada di bangku sekolah sekarang akan menjadi mangsa jika kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak terus kekal memerintah, kata penasihat Amanah Kelantan Datuk Husam Musa.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Anak-anak yang berada di bangku sekolah sekarang akan menjadi mangsa jika kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak terus kekal memerintah.

Penasihat Amanah Kelantan Datuk Husam Musa berkata cara pengurusan kewangan yang dilaksanakan sekarang akan menjadikan beban hutang negara berganda-ganda pada masa depan.

“Penyelewengan yang sedang dilakukan Najib kini sedang dibicarakan di beberapa negara dan dipandang begitu jijik oleh masyarakat antarabangsa.

“Dalam laporan jawatankuasa kira-kira negara(PAC), dalam kes 1MDB dinyatakan dengan jelas bagaimana sejumlah wang dimasukkan secara terus ke akaun Jho Lo tanpa sebarang urusan yang diberitahu.

“Perkara ini pun sudah cukup jelas bagaimana wang berbilion-bilion ringgit dibayar dari sebuah perbadanan kerajaan kepada pihak lain tanpa sebarang sebab,” katanya ketika berucap di majlis penyampaian peralatan sekolah di Bunut Payong, Kota Bharu hari ini.

Menurutnya transaksi seperti inilah yang menyebabkan kes 1MDB sedang dibicarakan di Amerika Syarikat dan Singapura.

“Kesan perbuatan kerajaan Najib ini bukan sekadar dirasai oleh rakyat pada masa sekarang.

“Kesan segera yang sedang kita rasai ialah kemerosotan nilai ringgit dan kenaikan mendadak harga barang di mana di Kelantan situasi ini amat dirasai kerana ramai rakyat kita berurusan dengan aktiviti lintas sempadan.

“Bila kita ke selatan Thailand untuk urusan sosial seperti menghadiri kenduri kendara atau menziarahi kaum keluarga yang sakit, kita terus rasai wang yang kita bawa terus mengecil sebaik melintasi sempadan,” katanya.

Para peniaga katanya tentu akan lebih terasa kerana mereka terlibat dengan transaksi berskala besar.

“Bahana lebih besar akan dirasai oleh generasi depan 20 atau 30 tahun lagi.

“Cara Najib sekarang mendapat wang ialah dengan menjual bon yang akan matang pada jangka waktu tertentu dan pada masa itu kerajaan terpaksa membayar balik dengan mengenakan pelbagai cara untuk diperas dari rakyat,” katanya.

Menurut Husam juga, berkata anak-anak yang masih di bangku sekolah akan menanggung beban jika dalam pilihan raya ini BN terus dikekalkan.

“Jika kita sayangkan anak-anak ini dan tidak mahu mereka menderita kemudian hari BN mesti ditolak apabila tiba hari mengundi nanti,” katanya.

Sementara itu di Kubang Kerian program gunting rambut percuma diadakan di dua tempat anjuran Amanah kawasan Kubang Kerian.

Ketua Amanah kawasan Kubang Kerian Fauzi Mohamad berkata jawatankuasa Dun Pasir Tumbuh mengadakan aktiviti itu di sebelah pasaraya PKT manakala pihak Amanah kawasan mengadakannya di hadapan Sekolah Kebangsaan Mentuan.

Di Pasir Puteh pula acara yang sama diadakan di pejabat Amanah kawasan di Jalan Kota Bharu.

TAGS