Selangor guna 20,000kg karbon aktif rawat pencemaran air

Selangor guna 20,000kg karbon aktif rawat pencemaran air

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menggunakan kaedah pengaktifan karbon bagi memulihkan kualiti pencemaran bau air di Sungai Buah, Dengkil.

Exco Pelancongan, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Negeri Selangor Elizabeth Wong berkata, kaedah tersebut meliputi jumlah kandungan karbon pada kuantiti 20,000 kilogram membabitkan tiga kawasan ban di sepanjang sungai.

“Selepas menjalankan kerja penyelidikan di makmal, kami mengesan kaedah ini boleh digunapakai bagi mengawal pencemaran bau air di Sungai Buah.

“Karbon aktif ini diletakkan di beberapa kawasan dikenal pasti berlakunya pencemaran dan hasilnya kita dapat lihat perkembangan cukup positif hasil daripada kaedah ini.

“Sehingga semalam 20,000 kilogram diletakkan dan dijangka jumlah ini bertambah lagi dengan mengambil kira faktor pencemaran berlaku ketika ini,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di tapak pembersihan pencemaran Sungai Buah petang tadi.

Hadir sama, Pemangku Pengarah LUAS, Nor Zamri Sondor, Ketua Kualiti Air Makmal Pengurusan Air Selangor, Abdul Karim Endut; dan Timbalan Speaker Dewan Negeri, Shafie Ngah.

Dalam perkembangan sama, Elizabeth mengesahkan cecair kimia yang didakwa menjadi punca pencemaran bau air di negeri ini adalah dari jenis 4-Bromodiphenyl yang mengalir dari aliran sungai di Nilai, Negeri Sembilan.

Justeru beliau mendesak kerajaan Negeri Sembilan membersihkan tapak pencemaran yang menyebabkan gangguan bekalan air bersih di Selangor.

Katanya Selangor sudah membina banyak benteng pada tempat air dari Sungai Buah dan Sungai Semenyih bertemu dan merawat air pada benteng dan tapak pencemaran yang menyebabkan berlakunya pengaktifan karbon.

Proses itu kata Wong membuktikan ia berkesan menurunkan kadar pencemaran, tetapi ia tidak bertahan lama.

“Selangor mahu kerajaan Negeri Sembilan merawat tapak pencemaran itu supaya air yang tercemar tidak mengalir ke Sungai Buah.

“Jika ia tidak dilakukan kita berada dalam situasi malang.

“Kita sudah membina benteng, ada tiga semuanya dan kita perlu membeli bahan karbon yang diaktifkan setiap hari.

“Kami sudah kehabisan stok (karbon diaktifkan) di Selangor. Ia semua dibawa ke sini. Kami tidak boleh melakukan ini setiap hari selama 365 hari setahun, jadi mereka (Negeri Sembilan) perlu menyelesaikan masalah itu,” katanya.

TAGS