Selangor guna pendekatan tersendiri perangi rasuah

Selangor guna pendekatan tersendiri perangi rasuah

Kerajaan Selangor mempunyai pendekatan tersendiri memerangi rasuah iaitu dengan mewajibkan setiap Exco menandatangani ikrar bahawa mereka tidak mempunyai kepentingan dalam mana-mana kertas yang dibentangkan pada mesyuarat Exco Negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ia adalah langkah proaktif kerajaan negeri untuk menangani gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan anggota Exco, anggota lembaga pengarah anak syarikat kerajaan negeri dan penjawat awam.

“Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri meluluskan pendekatan yang mana sebelum mesyuarat bermula setiap Rabu, anggota Exco perlu menandatangani suatu ikrar bahawa mereka tidak mempunyai kepentingan dalam mana-mana kertas yang dibentangkan.

“Begitu juga dengan anak syarikat seperti PKNS yang mana sebelum mesyuarat bermula, setiap anggota lembaga pengarah menandatangani ikrar mereka tiada kepentingan dalam mana-mana kertas yang dibentangkan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jimat Air di Pangsapuri Pelangi Court, Jalan Pekan Baru, Klang, hari ini.

Mohamed Azmin mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad bahawa tiga kerajaan negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan masih belum memberikan komitmen untuk menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Katanya, usaha memerangi rasuah yang dijalankan SPRM akan sentiasa mendapat dokongan kerajaan negeri.

DAP tidak terpinggir

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR menafikan dakwaan bahawa DAP dipinggirkan dalam pengumuman senarai kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan, Jumaat lepas.

Katanya DAP diberikan jawatan penting iaitu timbalan presiden yang disandang Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, bersama-sama Tan Sri Muhyiddin Yassin (Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)) dan Mohamad Sabu (Amanah).

Jumaat lepas, Pakatan Harapan mengumumkan struktur kepimpinan baharu yang diterajui Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi, Datuk Seri Anwar Ibrahim (ketua umum), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (presiden).

 

TAGS