Selangor-Kementerian tubuh badan petugas dakwa penyangak cemari sungai

Selangor-Kementerian tubuh badan petugas dakwa penyangak cemari sungai

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kerajaan Negeri Selangor mengambil langkah proaktif untuk bekerjasama dengan Kementerian Sumber  Asli dan Alam Sekitar dalam menangani masalah pencemaran air di negeri itu.

Menteri Besarnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan negeri dan kementerian telah bersetuju mengadakan kerjasama dari segi jangka pendek dan panjang.

“Kita bincang langkah jangka pendek dan panjang. Kita setuju dibentuk satu ‘task force’ bersama membabitkan Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan Air Selangor bukan sahaja turun bersama semasa insiden berlaku malah pemantauan juga akan dilakukan bersama,” ujarnya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, kerajaan negeri mengharapkan Jabatan Alam Sekitar, Luas dan Air Selangor dapat mengumpulkan bukti untuk persiapan mengemukakan pendakwaan terhadap pihak yang bertanggungjawab.

“Apa yang berlaku di Sungai Semenyih dua bulan lalu, kita (kerajaan negeri) sudah siapkan dan disemak Jabatan Peguam Negara.

“Kita harap akan dapat bersama dengan kementerian agar memohon kes ini dapat dipercepatkan pendakwaannya kerana kita tidak mahu mereka yang terlibat dalam isu pencemaran ini dibiarkan… mesti didakwa dan dihadapkan kemuka pengadilan. Ini antara langkah segera yang kita lakukan.

“Bagi langkah jangka panjang kementerian dan kerajaan negeri akan menyemak semula akta yang ada untuk penyelarasan bersama dalam menangani isu pencemaran ini supaya ada satu usaha bersama dapat dilakukan tanpa kekangan undang-undang,” ujarnya.

Gangguan bekalan air di Selangor yang berlaku beberapa bulan lalu, berpunca daripada pencemaran yang bermula dari Sungai Buah di Negeri Sembilan yang mengalir masuk ke Sungai Semenyih.

Pada Selasa lalu, Azmin turun padang meninjau sendiri punca pencemaran berlaku.

“Semua punca pencemaran ini berada di dalam Negeri Sembilan, bukan negeri Selangor. Hulu Sungai Buah berada di Negeri Sembilan.

“Aliran Sungai Buah ini masuk ke Sungai Semenyih menyebabkan ia mengganggu Loji Rawatan Air Sungai Semenyih, maka kita terpaksa menutup loji rawatan itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat kerja penyedutan air oleh Luas di Kampung Sungai Buah.

TAGS