Selangor mungkin kaji semula pemberian air percuma

Selangor mungkin kaji semula pemberian air percuma

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Datuk Seri Mohamed Azmin AliKerajaan Selangor tidak menolak kemungkinan untuk menyemak semula dasar pemberian air percuma 20 meter padu selepas proses penstrukturan semula industri air di negeri itu selesai sepenuhnya.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata memandangkan kos pengambilalihan menelan kos begitu tinggi maka wajar kerajaan negeri mempertimbangkan supaya pemberian air percuma hanya diberikan kepada rakyat yang berpendapatan rendah.

“Ini antara pandangan yang banyak kita terima dalam beberapa tempoh lalu (pemberian air percuma kepada rakyat berpendapatan rendah sahaja). Program yang begini baik dan menelan kos yang besar dapat dimanfaat oleh golongan yang benar-benar memerlukan.

“Bagaimanapun, pada ketika ini kerajaan negeri masih memutuskan untuk teruskan (program air percuma) bagi 2016, namun setelah selesai penstrukturan industri perkhidmatan air yang juga menelan kos begitu tinggi, maka amat wajar cadangan dikemukakan diberikan perhatian serius supaya kos dikeluarkan ini dapat tepati kumpulan sasaran ini,” katanya.

Mohamed Azmin (PKR-Bukit Antarabangsa) berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Saari Sungib (Amanah-Hulu Klang) yang ingin tahu sama ada kerajaan negeri bercadang melaksanakan program pemberian air percuma itu hanya kepada rakyat berpendapatan rendah.

Menteri Besar berkata sejak mula dilaksanakan pada 1 Jun 2008 sehingga 31 Dis 2015, program pemberian air percuma menelan kos sebanyak RM1.1 bilion dan ia ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Beliau dalam pada itu menyeru rakyat Selangor supaya mengamalkan sikap berjimat cermat apabila menggunakan air.

“Statistik mendapati kadar penggunaan air dianggarkan 235 liter bagi setiap individu setiap hari dan kadar penggunaan ini adalah sangat tinggi jika dibandingkan dengan kadar penggunaan di Singapura yang hanya guna 170 liter seorang sehari dan piawaian dikeluarkan oleh WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) hanya 150 liter seorang sehari,” katanya.

TAGS