Selangor, Pulau Pinang bukti PH boleh tadbir Putrajaya

Selangor, Pulau Pinang bukti PH boleh tadbir Putrajaya

Selepas dua penggal mengemudi kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang dengan baik tiada sebab Pakatan Harapan (PH) tidak boleh mentadbir Putrajaya pada pilihan raya akan datang, tegas Pengerusi AMANAH Selangor, Izham Hashim.

Menurutnya, apa yang diperlukan pada pilihan raya umum akan datang adalah sokongan dan kepercayaan rakyat untuk PH menggantikan BN di Putrajaya.

Beliau berkata, kedua-dua negeri tersebut mampu melaksanakan pelbagai program meningkatkan kesejahteraan rakyat kerana tidak korup dan boros mentadbir seperti pemimpin Umno-BN.

Izham Hashim 340“Kedua-dua negeri Pakatan Harapan ini mampu melakukan semua ini kerana pimpinan negeri-negeri tersebut tidak mencuri duit rakyat, tidak rasuah dan tidak membazir seperti pemimpin Umno-BN dalam kerajaan pusat,” ujarnya dalam ucaptama di Konvensyen AMANAH Selangor hari ini.

Berbanding kerajaan pusat yang dikuasai BN dengan bajet tahunan mencecah RM270 bilion, jelasnya, kerajaan negeri Selangor hanya mempunyai belanjawan tahunan sekitar RM3 bilion tetapi mampu menjaga kebajikan rakyat jauh lebih baik.

“Pelbagai program kesejahteraan rakyat berjalan lancar termasuk air percuma, Skim Usia Emas, bas percuma, Skim Peduli Sihat dan pelbagai program sedikit sebanyak berjaya meringankan beban rakyat.

“Malah, kakitangan awam di Selangor menerima dua bulan bonus dan mungkin tiga bulan tahun ini berbanding bantuan kewangan RM500 kepada kakitangan awam Persekutuan.

“Begitu juga prestasi yang baik di negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang yang selesa dengan pelbagai program kesejahteraan rakyat.

“Mungkin ramai kakitangan awam Persekutuan minta pindah ke Selangor dan Pulau Pinang,” katanya dalam ucapan bertemakan ‘Menjunjung Amanah Rakyat’ di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Indah.

{loadposition myposition}

Anak muda terperangkap 

Mengambil semangat sambutan Hari Raya Aidiladha dan Hari Kemerdekaan ke-60 baru-baru ini, Izham turut menegaskan pimpinan negara yang dikuasai Umno-BN bukan sahaja langsung tidak menghayati konsep pengorbanan dalam kedua-dua sambutan itu sebaliknya menjadikan rakyat sebagai korban melalui polisi menindas dan zalim.

“Keadaan ekonomi negara bertambah teruk apabila pemimpin kleptokrat terlibat merompak wang negara melalui silap mata licik menggunakan 1MDB (1Malaysia Development Berhad).

“Berpuluh-puluh bilion ringgit wang negara telah lesap dan sehingga hari ini tiada siasatan menyeluruh mahu pun sebarang tangkapan dibuat berhubung skandal ini.

“Perbelanjaan boros dan rasuah menjadi mainan harian kerajaan Umno-BN menyebabkan kantung negara hampir kering,” ujarnya.

Beliau menyifatkan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan langkah penarikan subsidi terhadap barangan keperluan rakyat sebagai jalan mudah Umno-BN mencari wang yang akhirnya memangsakan rakyat bawahan.

“Anak-anak muda terperangkap dalam hutang PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) dan berdepan pengangguran apabila selesai belajar.

“Jika ada pun pekerjaan, gajinya tidak setimpal dan tidak mencukupi untuk menyara kos kehidupan apatah lagi untuk membayar (pinjaman) PTPTN.

“Pemilikan rumah dan perkahwinan menjadi agenda paling akhir dalam hidup mereka menyebabkan permasalahan sosial yang semakin kronik,” katanya.

Izham turut menegaskan pendapatan negara sebenarnya adalah mencukupi untuk memelihara kesejahteraan segenap lapisan rakyat.

“Keadaan menjadi sukar kerana tindak-tanduk pemimpin yang rasuah, merompak dan boros.

“Mereka tidak punya sifat amanah dan maruah diri dalam menjalankan tugas dan mandat yang diberi rakyat lantas sudah hilang kelayakan menjadi pemimpin negara ini,” tambahnya lagi.

CATEGORIES
TAGS