Selangor model pembentukan Malaysia baharu jika PH ke Putrajaya

Selangor model pembentukan Malaysia baharu jika PH ke Putrajaya

Dalam pilihan raya umum akan datang rakyat hanya mempunyai dua pilihan sama ada memilih kepimpinan sebuah demokrasi atau kepimpinan kleptokrasi

Pakatan Harapan akan membawa kejayaan kepimpinan dan pentadbiran di Selangor sebagai membentuk sebuah Malaysia baharu, kata Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Mohd Azmin Ali ketika berucap dalam slot pentas pemimpin petang ini.

“Demokrasi adalah kerajaan yang peduli rakyat dari rakyat kepada rakyat.

“Manakala kleptokrasi adalah kerajaan lanun untuk lanun yang mendapat manfaatnya bukan untuk rakyat tetapi lanun yang merompak khazanah negara untuk memenuhi tembolok kerabat dan keluarga mereka,” ujarnya.

Beliau bercakap di hadapan 1,000 perwakilan yang hadir pada Konvensyen Pakatan Harapan yang diadakan di IDCC Shah Alam hari ini.

Kata Menteri Besar Selangor ini lagi, Pakatan Harapan (PH) perlu membina kekuatan dan muafakat bersama untuk bersedia “berperang” sehingga kemenangan memihak kepada PH.

“Apabila PH dibentuk kita akan memastikan peneroka Felda akan dapat pembelaan, petani pesawah dapat keselesaan, penjawat awam dimartabatkan, anak muda di saf hadapan yang pastinya rakyat dapat kesejahteraan dan Malaysia baru akan muncul di persada dunia,” ujarnya.

Justeru katanya, matlamat PH bukan sahaja untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) tetapi ia lebih daripda itu.

“Bukan sekadar nak jatuhkan Najib tetapi saya wakili rakyat Malaysia, saya akan membina Malaysia baharu yang gagah berwibawa dan bermaruah.

“PH bukan sekadar beri harapan tetapi kita bertanggungawab mendepani rakyat dengan penuh keyakinan, kita ada kemampuan dan kepimpinan untuk selesaikan masalah rakyat dalam pelbagai bidang.

“Apabila kita meletakkan matlamat untuk melahirkan Malaysia baharu ia menuntut politik baru, politik nilai yang padu dengan muafakat untuk pembangunan dan perpaduan dan politik peduli rakyat kerana itulah aspirasai rakyat hari ini terhadap PH,” ujarnya.

Beliau juga mahu perjuangan reformasi tidak  dipinggirkan dalam menubuhkan Malaysia baharu.

“Jangan mudah lupa dengan agenda reformasi kita bukan dilahirkan di dalam istana. Kita lahirkan di jalanan untuk menenutut pembangunanan dan reformasi.

“Kita telah diuji dan teruji kita telah melakukan yang terbaik setelah kita diuji dan teruji. Kita telah lalui keperitan dan  kepayahan mematangkan kita hari ini.

“Rakyat sedang perhatikan secara dekat, bukan yang kita mampu tawarkan, apa yang boleh kita laksanakan dalam PH. Kita akan dinilai dan dihakimi atas apa yang kita janji dan apa yang kita akan tunaikan,” ujarnya.

Azmin yang juga Timbalan Presiden PH berkata, walaupun beliau diasak dan dibuli oleh Pemuda Umno tetapi ujarnya, Jabatan Statistik Malaysia telah menunjukkan Selangor adalah negeri yang maju dan makmur.

Kita tidak perlu pergi jauh untuk yakinkan rakyat kita ada kemampuan. Kita ada Pulau Pinang dan Selangor.

“Saya kemukakan Selangor sebagai model kepada pembentukan Malaysia baharu jika Pakatan Harapan berjaya ke Putrajaya.

“Kita kekal penyumbang terbesar pada KDNK negara. Selangor adalah gedung kuasa ekonomi Malaysia…ingat Najib, Selangor menyumbang 23% peratus KDNK Malaysia.

“Maka ini membuktikan kita ada pengalaman, kemampuan dan kekuatan kepimpinan untuk membina Malaysia Baru,” ujarnya.

2.7
OVERALL SCORE
2 user votes x 4.0
CATEGORIES