Selepas 18 tahun akhirnya Siti Hasmah bertemu Kak Wan

Selepas 18 tahun akhirnya Siti Hasmah bertemu Kak Wan

Selepas 18  tahun akhirnya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali hari ini mengunjungi Presiden PKR  Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di rumahnya di Segambut, Kuala Lumpur.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Selepas 18  tahun akhirnya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali hari ini mengunjungi Presiden PKR  Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di rumahnya di Segambut, Kuala Lumpur.

Bekas pemimpin akar umbi Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, yang turut hadir, berkata pertemuan itu sungguh menyentuh perasaan.

Malah, katanya, air mata turut berguguran dalam pertemuan dua sahabat lama itu – sebelum suami mereka menjadi seteru politik.

“Banyak kenangan manis dan kisah silam diceritakan oleh Datuk Seri Kak Wan dan Tun Siti Hasmah.

“Yang melucukan bagaimana Kak Wan menceritakan beliau dipaksa menjadi beregu badminton oleh Tun Siti Hasmah.

Wan Azizah dan Siti Hasmah berdakap sejurus bertemu.“Manakala Tun Siti Hasmah menceritakan sambil ketawa bagaimana beliau terserempak dengan Kak Wan di airport dan terus mencabut cincin dari jari kak Wan dan memakaikannya.

“Ini kerana Tun Siti Hasmah berkenan pada cincin kak Wan,” cerita Khairuddin.

Dalam pertemuan selama sejam 40 minit itu kedua tokoh sempat bertukar cenderahati sebelum Tun Siti Hasmah berangkat pulang manakala Wan Azizah membuat persiapan untuk bertolak ke Johor.

Dalam pertemuan  itu Tun Siti Hasmah telah menghadiahkan memoir peribadi beliau kepada Wan Azizah. Manakala Wan Azizah pula telah menghadiahkan produk susu kambing untuk kesihatan.

Menurut Khairuddin lagi, beliau berasa bersyukur kerana Allah swt telah memberkati perjumpaan yang dilihatnya paling mesra yang sudah pasti ditunggu oleh ramai pihak.

“Kedua-dua tokoh ini amat berjiwa besar di antara satu sama lain,” ujarnya yang turut merakamkan detik pertemuan itu.

Pertemuan selepas 18 tahun ini mengulangi lagi pertemuan suami mereka – dua tokoh politik negara – Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September lalu apabila mereka kembali bersalaman selepas 18 tahun bermusuh.

Kedua-dua pemimpin itu kini berkongsi pendirian politik untuk menumbangkan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (berdiri) mengaturkan pertemuan antara Datuk Seri Wan Azizah dan Tun Dr Siti Hasmah.

 

 

 

TAGS