Selepas berjaya bebaskan Imam Za’aba, fokus Mazlan Aliman pula

Selepas berjaya bebaskan Imam Za’aba, fokus Mazlan Aliman pula

 

Selepas berjaya membebaskan Imam Za’aba dari dibangkrapkan kerana kalah petisyen pilihan raya atas nama Pas, kini Amanah berazam untuk membebaskan Mazlan Aliman pula.

Setiausaha Organisasi Amanah, Suhaizan Kayat dalam satu kenyataannya berkata, masalah yang dihadapi Imam Za’aba telah selesai apabila orang ramai membantu beliau sehingga wang sebanyak RM50,000 berjaya dikumpulkan.

“Sekarang Tabung Solidariti Imam Za’aba berjumlah RM54,431.76 telah mencapai sasarannya. Harapan saya agar kita sama-sama dapat meneruskan momentum ini untuk membantu Mazlan Aliman yang sedang dalam kesusahan,” tulis Suhaizan dalam kenyataan itu.

Mendapat arahan dari Pas, Imam Za’aba telah memfailkan petisyen pilihan raya terhadap SPR bagi Parlimen Pulai bagi PRU-13 lalu, namun kalah.

Ekoran itu, beliau diarahkan membayar RM50,000 oleh mahkamah namun beliau tidak mempunyai wang sebanyak itu.

Mazlan yang memperjuangkan hak dan nasib Felda kini perlukan sokongan semua.Mazlan Aliman pula kalah selepas disaman oleh Felda berkaitan dengan buku yang ditulisnya dan diperintahkan membayar RM500,000 oleh mahkamah. Jika gagal, Mazlan akan diisytiharkan muflis dan tidak boleh memegang jawatan atau bertanding dalam pilihan raya. 

“Empat kali Imam Za’aba menghubungi saya meluahkan perasaannya yang bimbang dibankrapkan setelah kalah sebagai plaintif petisyen Pas PRU-13 Parlimen Pulai.

“Mulanya saya hubungi pimpinan Pas bagi menyatakan bahawa mereka perlu bertanggungjawab kerana petisyen itu adalah milik Pas. Keluarnya plaintif daripada Pas tidak boleh melepaskan ikatan tanggungjawab tersebut.

“Malangnya PAS tidak mahu mengambil tanggungjawab. Imam Za’aba semakin gelisah. Keluarganya tertekan. Anak-anaknya sudah mulai bimbang. Ke mana sahaja beliau pergi orang ramai akan bertanya. Akhirnya Amanah Pulai membuat keputusan mengambil tanggungjawab PAS Pulai membantu Imam Za’aba,” cerita Suhaizan.

Ekoran itu, katanya, Amanah Pulai mulakan rayuan di media sosial atas nama Solidariti Imam Za’aba.

“Perbahasan dalam media sosial sentiasa panas. Imam Za’aba dihina dan dicerca setiap hari. Tapi Alhamdulillah bantuan daripada masyarakat berterusan diterima termasuk daripada luar negara,” katanya.

Menurut Suhaizan, Thomas Fann seorang aktivis masyarakat bersimpati terhadap Imam Za’aba.

Beliau membuat rayuan peribadi kepada kenalannya. Setelah tersiar dalam beberapa media, bantuan datang mencurah-curah di seluruh negara.

“Tidak kira agama, bangsa ataupun fahaman politik. Mereka datang membantu Imam Za’aba. Pembantu saya Sdr Muhammad tidak cukup tangan melayan pertanyaan daripada para dermawan,” katanya.

Sesuatu yang tidak beliau sangka berlaku apabila seorang hamba Allah yang tidak mahu namanya disebut, tidak mahu identitinya dikenali menghulurkan sumbangan RM10 ribu untuk Imam Za’aba.
“Saya panjatkan kesyukuran kepada Yang Maha Kuasa yang telah mengerakkan hati-hati dermawan membantu Imam Za’aba,” katanya.

Sekarang, kata Suhaizan, Tabung Solidariti Imam Za’aba berjumlah RM54,431.76 telah mencapai sasarannya.

Harapan beliau, agar semua pihak sama-sama dapat meneruskan momentum ini untuk membantu Mazlan Aliman yang sedang dalam kesusahan.

Mazlan, katanya, adalah pejuang yang mahu “dibunuh” secara undang-undang seperti Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong, Dr Burhanuddin Helmi, Mahatma Ghandi, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu, Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli.

Mazlan perlu mengumpul RM500,000, katanya.

“Jika gagal maka rakyat marhain akan kehilangan hero mereka. Marilah kita sama-sama membantu beliau. Mazlan Aliman dan Imam Za’aba adalah mangsa kezaliman penguasa yang korup,” katanya.

 

TAGS