Selepas bertahun migran diseludup, kerajaan ‘akan’ selaras agensi berkaitan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Lakaran modus operandi sindiket bersubahat dengan pegawai imigresen di KLIA dalam Harian Metro semalam.

Selepas berlaku penyeludupan warga Bangladesh dan Myanmar melalui Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak 2010, kerajaan dilihat baharu akan menyelaraskan agensi berkaitan dalam kawalan sempadan negara.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari dilapor berkata, terdapat tiga agensi yang terlibat bagi menangani masalah penyeludupan migran ke negara ini.

Pihak terbabit ialah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Keselamatan dan Kawalan Sempadan (AKSEM).

Zahid pada masa sama mengakui isu tersebut sudah lama berlarutan ketika diminta mengulas pembongkaran kegiatan penyeludupan warga Bangladesh dalam laporan muka depan Harian Metro (HM) semalam.

“Permasalahan penyeluduoan migran sudah terlalu lama dan ia harus diletakkan nombor satu untuk ditangani,” dipetik daripada HM hari ini.

Terdahulu, HM dalam laporan bersirinya semalam dan hari ini mendedahkan terdapat empat sindiket utama dari Dhaka, Bangladesh yang dipercayai paling aktif membawa masuk migran secara haram melalui KLIA sejak 2010.

Mereka yang juga digelar ‘Raja KLIA’ didedahkan mengaut sebanyak RM5.2 juta setahun dan didakwa mengenali setiap pegawai dan anggota JIM yang bertugas di pintu masuk utama negara ini.

Hasil penyiasatan skuad HM sejak tujuh bulan itu juga mendedahkan pendatang dari Myanmar yang menggunakan pasport Bangladesh turut diseludup masuk ke Malaysia.

Kegiatan menyeludup warga Bangladesh juga dilapor paling giat berlaku sekitar tahun 2011 sehingga 2014 dengan ratusan migran berjaya lolos di KLIA menggunakan rangkaian sindiket tersebut.

Setiap migran dikenakan bayaran sehingga RM15,000 manakala bayaran wang ‘pelincir’ di KLIA dikatakan sebagai sudah menjadi kebiasaan sekiranya mahu melepasi pemeriksaan.

Bagaimanapun, Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) D7C Bukit Aman dengan kerjasama HM telah menumpaskan sindiket penyeludupan warga Bangladesh di KLIA dalam Op Pintas KLIA hampir 24 jam, kelmarin.

Sebelum ini, pihak pembangkang mendedahkan kemasukan ribuan warga Bangladesh di KLIA menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), namun dinafikan pihak kerajaan bahawa mereka mempunyai kaitan sebagai pengundi.

 

> Foto:

CATEGORIES
TAGS