Selepas kenal pasti masalah, Amanah rangka tawaran masa depan

Selepas kenal pasti masalah, Amanah rangka tawaran masa depan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ucapan Presiden Amanah Mohamad Sabu di Konvensyen Nasional Pertama pagi tadi jelas membawa dimensi baru.

Beliau semasa dalam parti lamanya, Pas berada di posisi kedua sebagai timbalan presiden, jelas berjaya memukau peserta konvensyen dengan kritikannya terhadap suasana pincang pengurusan negara.

Punca utama kepada kerosakan sistem politik negara katanya, adalah akibat kegagalan di dalam mengamalkan prinsip pemisahan kuasa.

“Badan eksekutif dilihat terlalu berkuasa manakala badan legislatif hanya berfungsi sebagai “rubber stamp”.

Ini menyebabkan ahli-ahli legislatif kelihatan seperti hilang peranan di dalam sistem politik Malaysia,” katanya di hadapan khalayak yang penuh sesak dalam dewan konvensyen berkapasiti 3,000 hadirin.

Generasi rakyat pada hari ini menurut beliau amat malang untuk menjadi saksi kepada amalan kleptokrasi yang berlaku sekarang.

“Ianya cukup melukakan dhamir kemanusiaan dan kerohanian di kalangan rakyat yang masih mempunyai nilai moral dan intelek yang ampuh.

“Ini bencana dan mala-petaka besar dalam persoalan uru tadbir di negara kita,” katanya.

Selain kerosakan akibat hilang amanah dalan pengurusan negara, beliau turut membongkar kerosakan nilai harmoni masyarakat akibat kemunculan masalah baru yang memburukkan hubungan pelbagai etnik, ras dan agama.

“Mulanya fenomena ini berlaku di luar negara tapi kini cuba diimport ke negara kita,” katanya.

Golongan ekstremis katanya, cuba memberi tafsiran kepada persoalan hanya dari sudut pandangan mereka sehingga mereka beranggapan hanya pendapat, pandangan dan pendirian mereka itulah yang sah dan betul.

“Ini ditambah dengan sikap mereka melabelkan orang lain yang tidak bersetuju dengan mereka sebagai penyeleweng, pengkhianat, kafir, munafik dan berbagai panggilan lain sehingga ke tahap membenarkan golongan ekstremis ini melakukan keganasan dengan apa cara sekali pun bagi menegakkan apa yang mereka percayai,” katanya.

Menurutnya golongan ekstremis ini mempunyai matlamat politik sempit dan tidak peduli terhadap kesan yang bakal terjadi hasil tindakan mereka itu.

“Mereka sanggup “membakar” negara asalkan hasrat dan kehendak mereka tercapai,” katanya.

Turut dibangkitkan adalah tindakan mereka yang berpegang kepada fahaman ekstrem agama.

“Kumpulan ekstremis tersebut dengan begitu mudah melabelkan individu dan kumpulan lain sebagai kafir.

“Hasilnya mereka bertindak secara keras dan radikal bagi mencapai matlamat mereka.

Mengapa Amanah muncul

Amanah kata Mohamad, membawa mesej Islam sebagai rahmat untuk semua, bukan bermakna mengenepikan prinsip, sebaliknya kebersamaan adalah kekuatan manakala bersendirian adalah kelemahan.

“Kebersamaan juga adalah kebijaksanaan manakala keseorangan itu adalah kedangkalan dan kesombongan.

“Apabila kita memeilih kebersamaan, kita wajar menghindari pemikiran tribal dan jumud yang mementingkan kelompok sendiri,” katanya.

Parti Amanah Negara katanya, tampil di persada politik negara menyahut “fastabqul khairat” (berlumba-lumba membuat kebaikan)dengan mengurus kemajmukan rakyat negara ini.

Tawaran Amanah

Paling menarik dalam pidato ini, Amanah yang baru berumur satu tahun memiliki cadangan bernas urtuk ditawarkan kepada rakyat negara ini.

“Amanah, bersama Pakatan Harapan dan PPBM, akan menubuhkan satu suruhanjaya bebas ke atas 1MDB bagi mengambil segala tindakan yang diperlukan berdasarkan beberapa kajian dan siasatan yang telah dijalankan khususnya oleh Ketua Audit Negara, Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) termasuk laporan-laporan dari jurisdiksi negara-negara lain seumpama Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Emirates dan yang lain,” katanya.

Turut disentuh adalah usaha yang bakal dibuat untuk Wanita dan belia.

“Amanah juga berusaha mengangkat maruah wanita.

“Wanita mempunyai peranan dan yang amat besar dalam pembangunan masyarakat.

“Wanita perlu diberikan peluang untuk mendapatkan pendidikan dan pekerjaan secara adil dan saksama.

“Segala bentuk diskriminasi wanita perlu dihapuskan,” tegas beliau.

Berkenaan belia, beliau mengimabu sejarah.

“Nelson Mendela hanya berusia 34 tahun ketika beliau memimpin gerakan anti-apartheid di Afrika Selatan.

“Aktivis Malcolm X berusia 39 tahun sewaktu dibunuh.

“Begitu juga Saidina Ali dan Muhammad al-Fateh yang menjadi panglima perang dalam usia muda,” cerita beliau.

Parti Amanah katanya, perlu ke hadapan untuk mendengar denyut nadi permasalahan anak muda dan seluruh segmen rakyat dalam mencari penyelesaian yang tepat.

“Kita juga perlu ditampilkan sebagai “government in waiting” yang bersedia memikul amanah ini.

“Anak muda perlu mengorak langkah berani untuk mencabar sistem yang telah dikorupkan oleh Umno-Barisan Nasional,” katanya.

Wawasan politik Amanah beliau simpulkan sebagai usaha dan keazaman yang kuat melalui gabungan pembangkang yang kini berpusat bersama Pakatan Harapan.

“Tiada jalan pintas untuk menang melainkan perlunya peyusunan gerak kerja pilihan raya dan juga pengukuhan organisasi.

“Amanah menyokong semua tuntutan Bersih termasuk pilihan raya yang bersih, kerajaan yang bersih dan memperkukuhkan demokrasi berparlimen,” katanya.

TAGS