Selepas ketua Pemuda Pas, pegawai Najib pula canang ‘bahaya’ DAP

Selepas ketua Pemuda Pas, pegawai Najib pula canang ‘bahaya’ DAP

Sekarang semakin jelas bahawa DAP ialah parti dominan dalam Pakatan Harapan dengan Lim Kit Siang sebagai pemimpin de facto yang bijak mengatur percaturan dan mencorakkan penampilan Pakatan Harapan, kata Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.

Tengku Sariffuddin berkata ia menggunakan strategi Ali Baba dengan meletakkan pemimpin Melayu di barisan hadapan tetapi power broker sebenarnya berada di belakang tabir.

“Bagaimanapun, orang melayu hari ini sudah mula menghidu taktik kotor ini kerana ia menghina kecerdasan mereka.

“Mengapa DAP dan Kit Siang bermain silap mata ini? Ini kerana pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas Pakatan mula merosot, mereka memerlukan seorang tokoh Melayu yang baharu di barisan hadapan sebagai topeng,” kata Tengku Sariffuddin dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata DAP dan Kit Siang tahu benar bahawa orang Melayu tidak akan menyokong mereka bulat-bulat.

Mereka tidak menaruh kepercayaan kepada pemimpin rakan-rakan dalam Pakatan seperti Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR) atau Mohamad Sabu (Amanah), tetapi sebaliknya memilih untuk membentuk pakatan baharu dengan Pengerusi Parti Pribumi Melayu Bersatu (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad, dengan mengetahui sepenuhnya bekas perdana menteri itu tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 dan bahawa partinya hanya mempunyai satu kerusi di parlimen, kata beliau.

{loadposition myposition}

Beliau berkata keputusan DAP untuk merestui Mahathir untuk memimpin Pakatan Harapan adalah satu penghinaan kepada PKR dan Amanah.

“DAP dan Kit Siang mengambil keputusan ini berdasarkan pengalaman dan pengaruh Mahathir. Tetapi ini jelas hipokrit kerana parti-parti pembangkang melancarkan gerakan reformasi yang terang-terang menentang Mahathir,” katanya.

Tengku Sariffuddin berkata Kit Siang menggunakan musuh lamanya dan orang yang pernah menyebabkan beliau meringkuk dalam tahanan untuk menerajui cabaran DAP di kawasan-kawasan yang menjadi kubu orang Melayu.

“Itulah sebabnya mengapa mereka membiarkan Mahathir bercakap mengenai dasar. Tujuan utama DAP ialah untuk menambat hati pengundi Melayu.

“Bagi Kit Siang secara peribadi, ikatannya dengan Mahathir bermaksud untuk memadamkan imejnya sebagai anti Melayu dan anti Islam. Tetapi apa yang Kit Siang gagal untuk memahami ialah orang Melayu boleh menghidu bahawa mereka diperalatkan oleh DAP,” kata beliau.

Tengku Sariffuddin berkata sudah tidak menjadi rahsia lagi bahawa mengundi Pakatan sebenarnya
ialah mengundi DAP, bukan PKR, Amanah atau PPBM.

“DAP adalah kuasa sebenar di belakang pembangkang. Bagaimanapun, DAP kini dalan keadaan panik kerana telah sedar bahawa orang Melayu menyedari apa yang sedang berlaku dan dalang sebenarnya ialah Kit Siang,” kata beliau.

CATEGORIES
TAGS