Selepas lima hari Guan Eng ucap terima kasih…

Selepas lima hari Guan Eng ucap terima kasih…

Walaupun prinsip tabayyun iaitu memeriksa terlebih dahulu kesahihan kerap ditekankan Pas terhadap ahlinya tetapi ada pemimpin parti yang bermusuh dengan Pakatan Harapan itu bersikap sebaliknya.

Ahli Jawatankuasa Pusat Pas, Mokhtar Senik menuduh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak mengucapkan terima kasih pula kepada kerajaan negeri Kelantan berhubung bantuan kepada mangsa banjir.

Walhal, Guan Eng telah berbuat demikian dalam laman Facebook rasminya sejak pagi 6 November lepas tetapi mungkin tidak diketahui Mokhtar walaupun selepas lima hari berlalu.

“LGE (Lim Guan Eng) dan kerajaan negeri (Pulau Pinang) tak ucap terima kasih kepada Kelantan dalam isu banjir di Penang bagi saya bukan isu.

“Perkara biasa kalau diberitahu ‘kura-kura tak pandai memanjat’ juga perkara biasa kalau diberitahu ‘anjing gigit orang’.

“Tapi kalau diberitahu ‘orang gigit anjing’ baru saya hairan dan memang satu isu besar. Bagi saya peristiwa banjir yang melanda Pulau Pinang benar-benar pukulan yang memalukan LGE,” tulis Mokhtar di Facebook, 11 November lalu.

Status Ketua Dewan Ulama Pas Pahang di media sosial tersebut turut meramalkan peristiwa buruk akan berlaku di Pulau Pinang jika Guan Eng dianggap memperlekeh kerajaan negeri Kelantan.

Sehubungan itu, pemilik Pusat Pendidikan Islam an-Nuur atau dikenali Pondok an-Nuur di Pantai Sepat, Kuantan berkenaan menyeru sudah tiba masa rakyat di Pulau Pinang menggulingkan DAP sebagai parti pemerintah.

“Saya perhatikan sejak dulu, asal ada perkara yang LGE tuduh dan merendah-rendahkan kerajaan Pas Kelantan, pasti selepas itu perkara yang sama dan bahkan lebih buruk akan berlaku di Penang.

“Sudah sampai masanya rakyat Pulau Pinang menurunkan DAP daripada takhta Pulau Mutiara itu. Kesombongan bermakna menjemput bala daripada Allah,” hukum Mokhtar lagi.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP pada 6 November lalu telah menyatakan penghargaannya kepada kerajaan negeri Kelantan yang telah meluluskan bantuan segera mencecah RM50,000 kepada Pulau Pinang ekoran banjir besar.

“Terima Kasih Negeri Kelantan atas segala sumbangan dan kelulusan sejumlah RM50,000 sebagai bantuan segera ke Pulau Pinang,” dipetik dari Facebook Guan Eng.

4.5
OVERALL SCORE
1 user vote x 9.0
CATEGORIES