Selepas setahun, perjuangan Amanah baru bermula

Selepas setahun, perjuangan Amanah baru bermula

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

(Dibacakan oleh Timbalan Penasihat Umum AMANAH, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin sempena sambutan setahun Amanah di Muar, Johor pada 24 September 2016)

Marilah bersama-sama kita memanjatkan setinggi- tinggi kesyukuran kehadrat Allah yang telah melimpahkan taufiq dan hidayah serta inayahNya dan memberi kekuatan kepada kita sehingga berjaya menubuhkan Parti Amanah Negara(AMANAH) sebagai sebuah wadah politik Islam yang inklusif di tanah air kita. Dimana, hari ini kita menyambut genap usianya setahun yang setiap hari-harinya dilalui dengan getir, penuh cabaran dan ujian.

Kita bersyukur kerana kehadiran Parti Amanah Negara mendapat sambutan dan penerimaan rakyat yang amat memberangsangkan dari kalangan berbagai peringkat masyarakat, budaya dan kepercayaan, termasuk rakyat dari kalangan Non-Muslim.

Sesungguhnya sambutan dan penerimaan masyarakat Malaysia amat menjanjikan harapan yang tinggi bahawa Parti Amanah Negara(AMANAH), InshaAllah akan segera berkembang dengan pesat dan mempunyai daya saing dalam membawa pergerakan dan perjuangannya bagi menegakkan kebenaran dan keadilan dengan wajah pendekatan Islam sebagai rahmat untuk seluruh alam atau rahmatan lil alamin.

Kita mengambil pendekatan ini sejak dari awal tercetusnya idea dan hasrat kita untuk meneruskan perjuangan melalui gagasan yang dikenali melalui Gerakan Harapan Baru.Kita telah menekankan dan memberikan tanweer pencerahan pemikiran bahawa risalah Islam adalah untuk membawa rahmat kepada semua manusia dan seluruh alam sebagai manifestasi dari firman Allah dalam Surah Al-Anbiya Ayat 107 yang bermaksud: “Dan tidaklah Kami mengutus engkau wahai Muhammad melainkan untuk (menjadi) Rahmat bagi seluruh alam.

Doa dibaca sebelum kek dipotong sempena setahun Amanah.Sesungguhnya kita dan mereka yang di luar sana tidak pernah menjangka atau terfikir akan tertubuh sebuah parti politik Islam yang baru di negara Malaysia yang tercinta ini. Tapi segala-galanya telah terjadi dan berlaku dengan kehendak dan takdir serta qadha’ Allah SWT yang Maha mengatahui lagi Maha bijaksana.

Ini selari dengan firman Allah dalam Surah Luqman ayat 34:

“Tiada siapa yang tahu apa yang akan berlaku pada dirinya pada besok hari dan tiada siapa yang tahu di ranah mana ia akan meninggal dunia. Sesungguhnya Allah Maha Tahu dan Maha bijak”

Meskipun kelahirannya ke persada politik negara dengan takdir yang Maha Kuasa, namun dalam masa yang sama, tidak dapat dinafikan bahawa kehidupan ini dan perjuangan menuju cita cita murni agamanNya perlu digagas, dirancang dan dikelola dengan cara yang terbaik; berlandaskan segala kaedah berfikir logik, keilmuan, kemahiran dan kebijaksanaan.

Sebab itulah kita telah merancang dan merungkaikan konflik dan perbezaan pendapat dengan cara yang dibimbing oleh syara’ berpandukan nas ayat-ayat Al-Quran dan hadith, kaedah Fiqhiah yang releven serta pemikiran strategik; demi meneruskan perjuangan Islam, memenangkan cita-cita membasmi kejahatan, menumpaskan kebatilan, menegakkan keadilan dan memerdekakan rakyat dari segala bentuk penyelewengan, penindasan, korupsi, kleptokrasi dan sebagainya.

Masa setahun sebenarnya bagi pertubuhan sebagai sebuah parti politik, adalah suatu masa yang relative singkat dan amat muda. Tapi Alhamdulillah dalam masa setahun ini kita telah mampu menyertai pilihan raya negeri Serawak pada bulan April yang lalu dan kira-kira dua bulan kemudian kita berupaya menyertai pilihan raya kecil Sg Besar dan Kuala Kangsar.

Syukur pencapaian yang dapat kita hasilkan begitu menggalakkan. Manakala dari segi prasarana, pembentukan cawangan yang hampir meningkat kepada angka mencecah 200 cawangan dan nisbah keahlian yang terus bertambah adalah membayangkan rahmat Allah dan kasihan belasnya kepada kita yang serba baru dan serba kekurangan, malah dalam keadaan serba terhimpit di segala penjuru.

Jika tidaklah kerana kesungguhan dan keikhlasan para pemimpin para pendokong kita di segenap lapisan; baik peringkat nasional mahupun peringkat negeri dan kawasan serta dengan bantuan sahabat yang simpati sudah tentu kurang sokongan Allah kepada parti baru ini. Parti baru yang sering dilempar dengan tuduhan dan fitnah oleh golongan yang berpolitik tanpa akhlak Islam.

Memang kita golongan baru yang dianggap mustadh’afin fil Ardh, tidak punya harta, tidakpunya pra sarana organisasi yang lengkap. Tapi kasihan belas Allah dan kesayuan hati para pejuang dan pemimpin parti ini dibelai Allah dengan kasihan belas dan ihsanNya kepada golongan tertindas atau mustadh’afin. Allah berfirman dalam surah Al Qasas ayat 5

“Kami mahu menghadiahkan kurnia kami kepada mereka yang tertindas di dunia ini. Kami mahu menjadikan mereka para pemimpin dan menjadikan para pewaris yang sebenar.”

Saudara-saudara

Sebagai ahli dan pemimpin parti yang baru kita mesti melipatgandakan usaha dan tenaga untuk menarik dan mentanweer ahli, meningkatkan mutu organisasi, memilih budaya kerja yang lebih berkesan dan bijak demi mengungguli medan siasah; selaras dengan tuntutan zaman, cabaran dan lapangan tempat kita berkerja dan berperanan.

Juga, sebagai sebuah parti yang inklusif kita mempunyai dua orang anggota pimpinan Nasional yang mewakili Non-Muslim khususnya masyarakat kaum Tionghwa dan kaum India. Kita berharap di semua peringkat Negeri,Kawasan dan Cawangan terdapat warga non-Muslim bersama mendukung parti Amanah.

Kita perlu menguasai selok belok berpolitik yang pelbagai, serta bersifat kontemporari dari segi strategi dan pendekatan. Kita mesti menguasai pendalilan dan penataran hukum berlandaskan perspektif Fiqh Siasah Islam yang terkini. Kita mesti bijak menterjemahkan nas nas yang ideal dengan perlaksanaan amali yang releven dan munasabah.

Kita boleh mempelajari bagaimana gerakan Islam yang lebih dewasa sama ada yang lama atau baru yang berupaya memposisikan matlamat dan gerak kerja perjuangan mereka sesuai dengan reality dan cabaran yang dihadapi. Kefahaman yang umum dan mutlak serta pandangan yang cetek hanya akan membawa kepada kaadaan serba kaku, jumud dan gagal berhadapan dengan reality atau tuntutan zaman.

Dalam masa yang sama kita juga harus tahu batas keanjalan dan sempadan penyimpangan. Segala bentuk Fiqh daripada Fiqh Al Waqi’, Fiqh Taghyir, Fiqh Maratib, Fiqh Sunan, Fiqh Ma’alat, Fiqh Aqalliyat, Fiqh Al Aulawiyat, Fiqh Al Ta’amul, Fiqh Siasah, Fiqh Al Maqasid, Fiqh Al Idariyah, Fiqh Al I’lam wa Al Teknologi dan lain-lain perlu kita garap dengan mentality terbuka tertapi pertimbangan yang cermat.

Realiti kita sangat pelbagai dan rencam, setiap kita mempunyai persediaan untuk mahir dalam lapangan masing-masing. Di sini kita perlu meningkatkan kualiti persefahaman dan kerja berpasukan. Zaman kerja menyendiri telah berakhir. Malah lawan kita sudah sampai kepada kebijaksanaan berpakat antara komponen parti mereka dengan jaya sekian lama.

Kita dan kumpulan yang bersama kita, semestinya meningkatkan kemahiran dan keupayaan untuk berpakat dengan semangat persaudaraan yang kental dan bertamadun. Kita mesti bijak mencontohi negara maju dan para pemimpin dan parti mereka yang terus menempa kejayaan dengan kemahiran memimpin dan bermu’amalah dengan kawan atau lawan dengan pintar dan bijak.

Dengan kesungguhan, dengan ilmu yang tinggi, budaya dan adab sopan serta akhlak mulia kita boleh mendapat anugerah Allah yang disebutkan dalam surah Al A’raf ayat 137:

Lalu kamu warith dan kurniakan golongan yang tertindas dan ditindas di dunia ini dengan tanah tanih di Timur dan Di Barat Dunia, Tanah yang kami berkati itu .

Saudara saudara

Orang ramai yang menyertai sambutan satu tahun Amanah di Muar.Perjuangan kita baru bermula. Oleh itu buatlah persediaan yang cukup dalam berbagai aspek dan sumber dari sekarang. Tingkatkan program tanweer secara teratur.

Begitu juga program usrah, tarbiah dan ibadah, tambahi ilmu agama dan ilmu-ilmu modern, mahirkan lisan kita dengan pelbagai bahasa dunia, kuasai berbagai aplikasi teknologi yang diperlukan dalam kegiatan berkemunikasi dan berpolitik, bernegara serta tidak ketinggalan berumah tangga.

Akhir sekali jangan lupa kita baru sahaja merayakan hari raya Eidul Adha atau hari raya qurban. Oleh itu Jangan lupa tuntutan berkurban dan berbakti . Mari kita buktikan pengurbanan kita kepada jama’ah dan parti. Mari kita menghabiskan umur dan infaq harta kita untuk kebaikan jamaah, umat dan negara. Allah berfirman dalam Surah Muhammad ayat 7

“Hai orang orang yang beriman sekiranya kamu menyokong dan menolong Allah , Allah pasti menolong kalian dan memantapkan langkah kalian.”

Oleh itu marilah kita berjiwa besar dan membuktikan kemulian dan ketinggian akhlak kita menghadapi segala karinah kawan dan lawan.

Insyallah dengan sifat mulia dan terpuji seperti sifat amanah, jujur, didikasi merendah diri, tahu menghargai jasa orang lain, banyak bersabar, tawakkal dan terus berbakti kita – insyallah – kita akan beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat kelak.

Allah berfirman dalam surah al Saf ayat 10-13 yang bermaksud:

10. Wahai orang-orang beriman, mahukah Aku tunjukkan kepada kalian suatu perniagaan yang menyelamatkan kamu daripada azab seksa yang pedih?

11. (Perniagaan itu) ialah kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya, serta kamu berjuang menegakkan agama Allah dengan membelanjakan harta benda dan malah mengorbankan nyawa kamu sendiri. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui ganjarannya.

12. Dengan pengurbanan itu nescaya Allah akan mengampunkan segala dosa kamu. Allah menempatkan kamu dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya anak-anak sungai, di samping Allah menganugerahkan kamu kediaman yang istimewa di dalam syurga “Adnin”. Itulah kejayaan yang paling besar.

13. Satu lagi limpah kurnia yang sangat kamu ingini ialah pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang semakin dekat. Oleh itu, sampaikanlah berita yang menggembirakan ini kepada orang-orang yang beriman.

Semoga para pengikut dan pemimpin parti Amanah serta seluruh pimpinan parti pakatan harapan terus bijak memposisikan perjuangan mereka dalam persepakatan yang mampan dan semangat kesatuan yang utuh dan gigih ;demi mencari belas ihsan dan rahmat Allah dan sokongan padu rakyat seluruh negara. Innahu Sami’un Mujib.

Sekian, selamat menyambut hari ulang tahun pertama Parti Amanah Negara!

Ustaz Ahmad Awang
Penasihat Umum
Parti Amanah Negara

22 September 2016 ( 20 Zulhijjah 1437 )

CATEGORIES