Selesai isu baiah, Husam harap Adun pro-Amanah tinggalkan Pas

Selesai isu baiah, Husam harap Adun pro-Amanah tinggalkan Pas

Sampai bilakah para Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pas yang menyokong Amanah di Kelantan akan kekal dalam parti itu kini menjadi isu yang hangat diperdebatkan.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Sampai bilakah para Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pas yang menyokong Amanah di Kelantan akan kekal dalam parti itu kini menjadi isu yang hangat diperdebatkan.

Malam tadi, mentor mereka, Datuk Husam Musa mencadangkan agar mereka membuat keputusan lebih awal berbanding dengan meninggalkan Pas selepas parlimen dan Dun dibubarkan.

“Boleh saja kalau selepas Dun dibubar tetapi soalnya orang ramai boleh percaya ke kalau saat-saat macam tu,” kata Husam dalam ucapannya di Dewan Perhimpunan Cina Kelantan malam tadi.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan para penyokong Amanah ini bertindak meninggalkan Pas lebih awal, iaitu sebelum parlimen dan Dun dibubarkan.

Sebelum ini, Pengerusi Amanah Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah mendakwa 10 Adun Pas akan bersama Husam jika beliau menyertai Amanah.

Namun kemudiannya beliau berkata, 10 orang yang beliau maksudkan adalah kemasukan Husam sama dengan kekuatan 10 Adun Pas menyertai Amanah.

Husam akan berdebat dengan Exco Agama Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nasaruddin Daud tidak lama lagi.

Tajuk yang akan diperdebatkan adalah “Baiah” yang menjadi antara batu penghalang kepada kemasukan para Adun Pas ke dalam Amanah.

Bagi Husam isu “Baiah” ini adalah isu pokok yang menyekat kebebasan bersuara dan berpolitik di negeri itu.

“Jika kita berjaya merungkaikan ini, saya berharap seorang dua lagi rakan-rakan saya dalam Pas boleh menyertai Amanah,” kata Husam malam tadi.

Bagi Husam, baiah ini terbatal selepas Pas sendiri sudah bertukar haluan menuju satu yang lain berbanding sebelum ini.

Husam mengucapkan terima kasih kepada Amanah Kelantan kerana telah memberikan beliau surat watikah membenarkan beliau menyertai debat itu.

Para pemimpin Amanah mendakwa, ada antara 12 hingga 19 Adun Pas berpotensi meninggalkan parti itu menjelang pilihan raya umum akan datang.

Tempoh pembubaran Parlimen dan Dun dipilih kerana selepas Dun dibubarkan, ikatan mereka dengan “baiah” atau janji setia itu akan terungkai dengan sendirinya.

Husam berharap debat beliau dengan Nasaruddin nanti akan menjelaskan isu ini dan tidak lagi menjadi fobia di kalangan Adun Pas untuk meninggalkan parti itu.

Sehingga kini, Datuk Kamarudin Jaffar (Parlimen Tumpat) dan Dr Mohamad Hatta Ramli (Parlimen Kuala Krai) adalah dua wakil rakyat Pas yang meninggalkan parti itu tanpa risau terikat dengan baiah itu.

Husam pula dipecat dari Pas dan menyertai Amanah selepas itu.

TAGS