Semakin rapat dengan Umno, pemimpin Pas dapat khutbah di masjid

Semakin rapat dengan Umno, pemimpin Pas dapat khutbah di masjid

Hubungan antara Pas dengan Umno semakin terserlah ketika muktamar Pas ke 63 di Alor Setar kali ini apabila pemimpin Pas berjaya masuk ke 26 buah masjid di seluruh Kedah untuk memberikan khutbah Jumaat hari ini.

Sempena muktamar kali ini, 26 pemimpin Pas yang diketuai timbalan presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menjadi khatib jemputan hari ini.

Beliau memberikan khutbah di masjid Tunku Putra, Kuala Kedah manakala timbalan mursyidul Am, Datuk Ahmad Yakub berkhutbah di masjid Selarong Batang.

Selain mereka berdua, turut dibenarkan menjadi khatib adalah Rosli Jabar (Masjid Alor Pulai), Datuk Dr Khairudin Aman Razali (Masjid Permatang Bongor), Datuk Dr Nik Zawawi Salleh (Masjid Tunku Ahmad Tajuddin).

Kebiasaannya hanya khatib yang pro Umno sahaja boleh memberikan khutbah Jumaat di masjid-masjid terutama di negeri yang dikuasai oleh Umno.

Selain mereka, masjid yang menjadi tempat pemimpin Pas memberikan khutbah hari ini adalah masjid Alor Madi (Dasuki Abd Rani), masjid Tandop (Dayik Nik Mohd Amar), masjid Aisyah Telok Bagan (Satiful Bahri).

Turut diberikan peluang memberikan khutbah Jumaat adalah Mokhtar Senik, ketua ulama Pas Pahang yang terpalit dengan skandal kriket dan Dr Azhar Yakub yang membacakan doa laknat kepada sesetengah pemimpin Pas dalam muktamar Pas sebelum ini.

Mokhtar berkhutbah di Masjid Gunung Sali manakala Azhar di masjid Alor Ibus.

Pas mengadakan muktamar ke 63 mulai esok sehingga Isnin ini. Muktamar dewan-dewan dalam Pas telah bermula sejak dua hari lalu.

Fokus kali ini adalah serangan terhadap PKR dan Rafizi Ramli, ahli parlimen Pandan.

TAGS