“Sempatkah tunai haji jika tempoh menunggu 70 tahun?” soal pencarum

“Sempatkah tunai haji jika tempoh menunggu 70 tahun?” soal pencarum

Para pencarum Tabung Haji (TH) kesal apabila hak mereka untuk menunaikan haji mengikut giliran dinafikan jika mengeluarkan deposit dan simpanan mereka malah tidak berpuashati dengan pemberian dividen lima peratus dan bonus tiga peratus yang diumumkan Februari lalu.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Para pencarum Tabung Haji (TH) kesal apabila hak mereka untuk menunaikan haji mengikut giliran dinafikan jika mengeluarkan deposit dan simpanan mereka malah tidak berpuashati dengan pemberian dividen lima peratus dan bonus tiga peratus yang diumumkan Februari lalu.

Pada sidang Dewan Rakyat Isnin lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengingatkan pendeposit Tabung Haji yang mengeluarkan deposit dan simpanan mereka kerana “percaya dengan fitnah dan tohmahan yang dilemparkan terhadap TH” akan kehilangan giliran menunaikan haji.

Pencarum terbabit, kata Jamil Khir kemungkinan perlu menunggu selama 70 tahun untuk menunaikan haji.

Mohd Fadzilah AhmadSeorang pencarum Mohd Fadzilah Ahmad, 51, terkejut apabila mengetahui terpaksa menunggu 70 tahun lagi untuk mendapatkan giliran menunaikan haji jika mengeluarkan simpanannya di TH.

Bahkan beliau ketika ditemui Malaysia Dateline baharu sahaja mengeluarkan sejumlah wang simpanan kerana terdesak memerlukan wang.

“Mana boleh menteri cakap begitu. Kalau pencarum ada seramai lapan juta orang pastinya ada sejuta akan menghadapi masalah kewangan. Takkanlah kerajaan mahu membatalkan giliran mereka menunaikan haji.

“Jika benar saya sudah terlepas giliran (tunaikan haji) pada 2060. Apa boleh buat kerana saya perlukan duit dalam waktu terdekat ini dan saya tiada pilihan terpaksa keluarkan simpanan dan deposit saya,” ujarnya sambil menunjukkan penyata buku akaun yang hanya berbaki RM200 sahaja.

Beliau menyifatkan kenyataan menteri bahawa pencarum mengeluarkan wang simpanan mereka kerana terpengaruh dengan fitnah pihak pembangkang sebagai tidak bijak.

“Memang tak cantik kenyataan menteri itu. Saya bukan peduli hal politik tetapi saya perlukan duit masa ini. Insya Allah kalau saya ada rezeki saya akan ganti balik deposit RM1300 itu dan cuba menyimpan semula.

“Terserahlah pada rezeki kerana nak tunai haji ni pun selain usaha kita berharap pada keredaan Allah,” ujarnya.

Ketika berucap di Dewan Rakyat, Jamil Khir membangkitkan kesan yang diterima TH susulan surat yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung rizab kewangannya yang dikhuatiri boleh menjejaskan keupayaan institusi itu untuk membayar dividen kepada para pencarum.

Menurut beliau, penyebaran surat dari BNM melalui media sosial telah menyebabkan TH dilemparkan dengan tuduhan-tuduhan rambang, analisis ‘separuh masak’ dan andaian negatif pelbagai pihak sehingga pendeposit TH menjadi mangsa.

Sabtu TurusBagi Sabtu Turus, 68, yang telah menunaikan haji pada 2011, tempoh baru 70 tahun menunggu giliran untuk menunaikan haji bagi pendeposit yang mengeluarkan simpanan adalah tidak munasabah.

“Sepatutnya tahun giliran itu dikekalkan kerana saya pasti pencarum akan menyimpan semula. Lagipun untuk menunaikan haji tidak cukup dengan deposit RM1300 itu sahaja, kami kena menyimpan juga untuk membolehkan kami tunai haji.

“Kalau menteri kata, nak anjak 10 tahun itu bolehlah diterima tapi kalau 70 tahun saya fikir ramai yang terlepas peluang kerana faktor umur mereka,” ujarnya.

Sabtu turut menyentuh dividen 5 peratus diumumkan TH yang disifatkannya sebagai rendah.

“Saya keliru mengapa bagi orang yang sudah pergi haji mereka akan dapat lima peratus (dividen) dan bagi yang masih belum pergi dapat  tiga peratus bonus.

“Kenapa perlu begitu sedangkan kami adalah pencarum. Tidak kira sama ada sudah tunai haji atau belum sepatutnya dapat dividen dan bonus  yang sama,” ujarnya.

Beliau juga kesal kerana kadar dividen TH yang diumumkan tahun ini kurang berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Umi Shakirah NasirSeorang ibu tunggal Kamariah Abdullah, 48, mengakui terpaksa mengeluarkan sebahagian simpanannya untuk dipindahkan ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Ditanya alasan beliau berbuat demikian, Kamariah menjelaskan bahawa dividen ASB kini melebihi deviden TH.

“Saya kecewa kerana dapat lima peratus dividen. TH pula larang pencarum keluarkan deposit mereka untuk elak giliran tunaikan haji hilang dan terpaksa menunggu hingga 70 tahun.

“Ini menyempitkan peluang pencarum yang menghadapi masalah kewangan untuk menunaikan haji,” ujarnya.

Umi Shakirah Nasir, 31, mengakui peka dengan perkembangan tabung haji kerana telah menyimpan sejak dibangku sekolah.

Beliau kurang senang dengan kadar dividen dan bonus TH serta pelaburan yang dibuat TH.

Umi Shakirah juga tidak bersetuju jika pencarum yang mengeluarkan deposit TH mereka hilang giliran menunaikan haji dan terpaksa menunggu 70 tahun lagi kerana ia satu jangka masa yang panjang.

“Saya fikir tidak salah jika tabung haji kekalkan giliran pencarum walaupun mereka sudah keluarkan (kadar minimum) RM1300 dalam simpanan.

“Saya sendiri dijadual menunaikan haji pada 2030. Kalau saya keluarkan semua deposit dan simpanan, saya fikir masih ada masa yang panjang untuk menyimpan semula.

“Pencarum terdiri daripada pelbagai peringkat usia. Agak malang jika yang sudah berusia lebih 50 tahun terpaksa menunggu 70 tahun lagi, sempat ke mereka (pergi haji)?” soalnya.

TAGS