Sempena sambutan Maulidur Rasul : Umno-PAS perlu ambil semangat ‘muafakat’

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Umat Islam di Selangor mengharapkan dua parti terbesar orang Melayu diterajui Umno dan PAS mengambil semangat ‘muafakat’ sempena sambutan Maulidur Rasul 1437H/2015 Peringkat Negeri Selangor yang bertemakan ‘Umat Muafakat Negeri Berkat’ yang berlansung meriah di Stadium Melawati Shah Alam pagi tadi.

Pendakwah Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah, bekas Ketua Polis Negeri Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan dan pakar mata Prof. Dr. Che Muhaya Mohamad adalah antara penerima Anugerah Khas Maulidur Rasul  bagi tahun ini.

Pendakwah Dr. Mohd  Farid Ravi AbdullahDr. Mohd Farid Ravi penerima Anugerah Imam Al-Gazali melahirkan rasa kesyukuran kerana beliau diangkat untuk menerima anugerah itu walaupun beliau berasakan ramai yang lebih layak menerima anugerah ini.

“ Saya rasa amat bertuah menerima anugerah ini, kerana saya dinilai berasaskan sumbangan yang telah banyak saya lakukan sebagai seorang pendakwah terutama di kalangan mualaf. Dengan kemenangan ini saya mengharapkan aka nada lebih ramai lagi pendakwah dikalangan mualaf untuk menyebarkan agama Islam di kalangan bukan Islam,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Menjawab pertanyaan, Ustaz Mohd Farid Ravi tidak menafikan permuafakan amat penting dalam masyarakat terutama membabitkan pemimpin politik.

“ Sebagai manusia kita kena hidup bermuafakat. Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin parti politik .

“Kita perlu memikirkan bagaimana uuntuk orang Islam berfikir cara hidup harmoni dalam satu landasan yang boleh disepakati bersama.

“Bukan berkepentingan peribadi tetapi ia lebih menjurus kepada kepentingan dan perpaduan nasional dan umat Islam di negara ini,” ujarnya memberikan pandangan apabila ditanya mengenai kerjasama Umno dan PAS yang hangat diperkatakan akhir-akhir ini.

Dr. Mohd Farid Abdullah menerima wang tunai berjumlah RM10,000, sijil penghargaan, piala iringan dan sepersalinan pakaian.

Manakala bekas Ketua Polis Negeri Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan adalah penerima bagi Anugerah Khalid Al-Walid 1437H.

Datuk Mohd Shukri DahlanBeliau ketika ditemubual berkata, sambutan yang bertemakan ‘Umat Bermuafakat Negeri Berkat’ menuntut cabaran yang besar di kalangan umat Islam untuk melaksanakannya pada hari ini.

“Tema ini menumpukan kepada ukhwah ,bermufakat, bersatu, yang mana ia sememangnya kena pada masa dan ketika ini umat Islam sudah nampak berpuak-puak.

“Ambillah tema ini untuk difahami oleh semua umat Islam. Dalam masa yang sama apa yang berlaku sekarang ini adalah perpecahan di kalangan umat Islam terutama orang Melayu.

“ Ini disebabkan beberapa faktor tetapi ia lebih kepada unsur politik dan kita perlu cari penyelesaian khusus dalam kontek perpaduan umat Islam seluruhnya,” ujarnya.

Mohd Shukri menerima wang tunai RM10,000, sijil penghargaan, piala iringan dan sepersalinan pakaian.

Mendapatkan pandangan pengunjung Muhamad Fuad Yeoh pula berkata, sambutan Maulidur Rasul tahun ini perlu dihayati semua umat Islam tidak kira apapun ideologi parti yang mereka sokong.

“ Saya lihat mereka (Umno-PAS) masih lagi tidak dapat keserasian dalam pertembungan untuk menyelesaikan masalah sesama mereka. Satu parti berunsurkan nasional dan satu parti lagi keagamaan.

Dr. Mohamad Fuad Yeoh“Pemimpin mereka perlu pendekatan yang boleh menyatukan orang Melayu demi bangsa dan agama. Setiap parti politik perlu berasaskan takwa . Jika ini gagal dilakukan tidak akan ada penyatuan atas nama ‘takwa’ kepada Allah swt,” ujarnya.

Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1437H/2015 Peringkat Negeri Selangor, penganjur telah mempelbagaikan penerima anugerah kepada lima kategori khas anugerah utama seperti:

Anugerah Khas Saidina Ali yang dimenangi oleh seorang pelajar Jihad Muhamad Fuad (wang tunai RM5,000,sijil penghargaan, piala iringan dan sepersalinan pakaian); Anugerah Khas Saidatina Khadijah dimenangi Prof. Dr. Che Muhaya Mohamad; Anugerah Khas Imam Ghazali dimenangi Dr. Mohd Ravi Abdullah (wang tunai RM10,000,sijil penghargaan, piala iringan dan sepersalinan pakaian); Anugerah Khas Khalid Al Walid dimenangi Datuk Mohd Shukri Dahlan (wang tunai RM10,000,sijil penghargaan, piala iringan dan sepersalinan pakaian); dan Anugerah Khas Umar Abdul Aziz dimenangi Datuk Abdul Majid Omar (wang tunai RM10,000,sijil penghargaan, piala iringan dan sepersalinan pakaian).

Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah Al Haj Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah berkenan berangkat ke majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri dan menyampaikan anugerah-anugerah kepada pemenang bgi  lima kategori utama dan 10 kategori sampingan membabitkan agensi kerajaan, sekolah, badan swasta dan berkanun di negeri itu.

Turut hadir Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Wahid dan Pengarah Jais Datuk Harris Kasim.

Acara bermula dengan perarakan berserta selawat pada jam 8.00 pagi ini yang disertai 92 kontinjen pelbagai agensi kerajaan dan swasta, badan beruniform, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan serta pelajar dari institusi pengajian tinggi dan sekolah di negeri Selangor.

TAGS