Senarai nama Majlis Presiden belum muktamad, hanya senarai j/k protem PH

Senarai nama Majlis Presiden belum muktamad, hanya senarai j/k protem PH

Senarai nama Majlis Presiden Pakatan Harapan masih dirangka dan ia hanya barisan jawatankuasa protem Pakatan Harapan untuk tujuan didaftarkan ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sahaja.

Perkara ini dijelaskan Ketua Biro Strategi dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Rais Husin yang berkata walaupun barisan kepimpinan kanan gabungan itu dibincangkan semasa mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan Ahad lalu, beliau menegaskan bahawa senarai itu bukan yang muktamad.

Memandangkan Majlis Tertinggi parti masing-masing perlu membincangkan dan mengesahkan nama-nama itu, senarai akhir dijangkakan dalam tempoh dua minggu lagi.

Rais menegaskan bahawa “tiga atau empat orang” tidak boleh menentukan arah hala tuju Pakatan Harapan.
“Kami adalah parti demokratik dengan prinsip demokrasi (tetapi) proses (pengesahan) tidak dilakukan sebelum senarai itu bocor.

“Sehingga masa apabila senarai itu disahkan, barulah kita umumkannya pada sidang media Majlis Presiden Pakatan Harapan,” katanya kepada Malaysiakini.

Rais berkata adalah penting bagi senarai barisan itu untuk mencerminkan aspirasi rakyat.

“Rakyat mesti menghormati dan yakin dengan senarai nama itu untuk membawa perubahan yang telah dibincangkan.

“Ia mesti adalah barisan betul dengan struktur sepatutnya dan ini belum dimuktamadkan,” katanya.

Pemimpin Bersatu itu mengulas laporan The Malaysian Insight yang memetik sumber yang mendakwa bahawa senarai itu telah dimuktamadkan.

Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Salahuddin Ayub berkata senarai yang dikatakan itu hanya mengandungi nama-nama jawatankuasa pro-tem Pakatan Harapan, yang dibekalkan sebagai memenuhi keperluan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Biasanya untuk senarai jawatankuasa pro-tem, kita hanya boleh menamakan sesiapa sahaja, kita juga boleh menamakan orang kampung atau rakyat biasa, ia adalah okay.

“Tetapi kami dalam Pakatan Harapan serius untuk mendaftarkan gabungan itu jadi kami mengambil keputusan untuk menamakan kepimpinan tertinggi walaupun ia hanya senarai jawatankuasa penaja.

“Ia adalah untuk menunjukkan betapa seriusnya kami supaya RoS tidak mempunyai alasan untuk menolak permohonan kami,” katanya.
Pemimpin Amanah itu berkata terpulang kepada orang ramai untuk mentafsir senarai itu sebagai kabinet bayangan Pakatan Harapan.

Salahuddin mengesahkan bahawa ketua pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dinamakan sebagai pengerusi gabungan itu dan wakil-wakil Amanah dalam jawatankuasa itu, termasuk dirinya, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Naib Presiden Datuk Mujahid Yusof Rawa dan Setiausaha Agung Anuar Tahir.

Turut dilaporkan Pakatan Harapan bersetuju untuk menamakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat parti.

Wan Azizah, semasa sidang akhbar pada Ahad mengesahkan bahawa pihak Pakatan Harapan memutuskan untuk secara rasmi mendaftarkan gabungan itu dengan RoS dalam masa dua minggu lagi.

TAGS