Sensitif, patuhi syarat anjur program hiburan

Sensitif, patuhi syarat anjur program hiburan

Kerajaan negeri dan pihak berkaitan perlu sensitif dan mengambil kira pelbagai perkara berhubung penganjuran program hiburan, kata Ahli Jawatankuasa Kerja Amanah Nasional, Mazlan Aliman.

Menurutnya, pertimbangan yang teliti setelah mengambil kira pelbagai pandangan harus dimuafakatkan.

“Keinginan dan selera anak muda kepada hiburan akan terus berkembang. Apa pun namanya, ia terus hidup dan segar.

“Kena faham dunia mereka. Yang penting bagaimana acuannya,” ujarnya mengulas kontroversi kehadiran penyanyi rock Awie di Kelantan baru-baru ini.

Beliau berkata, pemilihan artis dan garis panduan diikuti adalah antara elemen utama yang diambil kira.

Mengimbas pengalamannya sebagai Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat pada 2005, Mazlan berkata, Almarhum Tuan Guru Nik Aziz bukan sahaja merestui bahkan menonton Konsert Tautan Kasih yang berlangsung di Padang Perdana Kota Bharu selepas solat Isyak itu.

“Fenomena Mawi selaku juara Akademi Fantasia ketiga, juga kehadiran M.Nasir, Akhil Hayy, Rabbani dan Mestika telah menggamit kehadiran lebih 40,000 pengunjung khususnya anak muda yang dahagakan hiburan.

“Saya dan beberapa orang Exco Pemuda Pas Pusat serta Pemuda Pas Kelantan mengadakan beberapa siri perbincangan ekoran kontroversi dan bantahan beberapa pihak termasuk dalam parti sendiri.

“Saya amat gembira dengan keterbukaan Tok Guru Nik Aziz mengenai konsep hiburan alternatif yang Pemuda Pas mahu jayakan,” jelasnya dipetik daripada catatan Facebook beliau.

Walau bagaimanapun, Mazlan berkata, pada masa sama enakmen hiburan dan dasar Kerajaan Negeri Kelantan mengenai syarat-syarat mengadakan program berunsur hiburan dipatuhi.

“Garis panduan seperti pengasingan lelaki perempuan, dibuat selepas Solat Isyak, lagu yang tidak berunsur lucah dan muzik yang tidak melampau antara syarat yang diputuskan sebelum kelulusan oleh Kerajaan Negeri.

“Alhamdulillah, langkah berani Kerajaan Kelantan dengan melalui proses yang ketat telah membuahkan hasil. Liputan dan ulasan media sangat positif. Mawi menjadi ikon anak muda dengan imej bersih,” ujarnya lagi.

TAGS