Seruan Anak Muda Sabah: Turun perhimpunan 19 November ini

Seruan Anak Muda Sabah: Turun perhimpunan 19 November ini

Pemuda Amanah Sabah menyeru seluruh rakyat Sabah khususnya anak muda untuk menyertai perhimpunan Bersih 5 yang akan berlangsung pada 19 November ini di Kota Kinabalu, Sabah.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Penyertaan kita anak muda dalam perhimpunan Bersih 5 kali ini memberikan signal yang jelas kepada pemerintah, bahawa anak muda Sabah sentiasa peka dan menilai tadbir urus kerajaan

Pemuda Amanah Sabah menyeru seluruh rakyat Sabah khususnya anak muda untuk menyertai perhimpunan Bersih 5 yang akan berlangsung pada 19 November ini di Kota Kinabalu, Sabah.

Ketua Pemuda Amanah Sabah, Khairuddin Daud berkata, perhimpunan ini mesti disertai oleh anak muda Sabah kerana lima tuntutan Bersih 5 sangat signifikan dengan keadaan negara mutakhir ini.

“Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan satu skandal rasuah terbesar di Malaysia semenjak SPRM ditubuhkan, yang melibatkan Jabatan Air Sabah. Rupa-rupanya, skandal ini bukan baru berlaku, tetapi telah lama dilakukan oleh Pengarah dan Timbalan Pengarah jabatan tersebut.

“Ini sesuatu yang sangat memalukan dan menyusahkan rakyat. Skandal ini telah memangsakan ribuan rakyat Sabah.

“Selain itu, beberapa isu pendidikan di Sabah. Seperti kampus IPG bakal ditutup, kemudahan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang tidak mencukupi, lambakan kanak-kanak yang tidak mendapat pendidikan akibat kemiskinan dan banyak isu berkaitan pendidikan telah sekian lama menjadi barah dalam Sabah.” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairuddin menjelaskan penyertaan anak muda Sabah sangat penting dalam memberikan pengajaran kepada pemerintah.

“Penyertaan kita anak muda dalam perhimpunan Bersih 5 kali ini memberikan signal yang jelas kepada pemerintah, bahawa anak muda Sabah sentiasa peka dan menilai tadbir urus kerajaan. Selain itu, penyertaan kita juga adalah sebagai tanda kita sangat cintakan negeri Sabah dan tidak mahu salah laku pentadbiran, korupsi dan rasuah berterusan berlaku di negeri kita”, ujarnya.

“Justeru, kami di peringkat Pemuda Amanah Sabah menyeru seluruh anak muda Sabah tanpa mengira latar belakang politik, agama, bangsa, status pekerjaan dan sebagainya, untuk turun beramai-ramai menyertai perhimpunan Bersih 5 pada 19 November 2016 ini di Kota Kinabalu atas semangat cintakan negeri Sabah dan mahu menyelamatkan negeri ini daripada pelaku-pelaku korupsi”, tambahnya.

TAGS