Serunding Kampung Laut laris di Kuala Lumpur

Serunding Kampung Laut laris di Kuala Lumpur

Serunding Kampung Laut, Tumpat, bukan hanya popular di Kelantan tetapi mendapat permintaan yang tinggi di luar negeri itu terutama di Lembah Klang.

Oleh itu, tidak menghairankan serunding asli ayam dan daging itu mendapat sambutan yang hangat setiap kali bulan Ramadan dan juga menjelang Syawal.

Bagi memenuhi permintaan yang tinggi itu, Nurul Syamimi Mohd Sharifuddin, 22, sanggup datang dari Kelantan untuk menjual sendiri serunding yang diusahakan keluarganya dengan membuka gerai jualan di Jalan Masjid India di Kuala Lumpur.

Gerai yang dikendalikan Nurul Syamimi, Natrah Kerepek House, yang beroperasi sejak 2007, sentiasa menyaksikan jualannya meningkat setiap tahun dengan keuntungan boleh mencecah RM2,000 sehari.

Beliau berkata keistimewaan serunding berkenaan yang merupakan warisan turun temurun keluarganya itu terletak pada ramuan rempah ratus selain rasa manis dan pedas yang enak sehingga menambat selera pelanggan.

“Alhamdulillah, serunding asli ini masih lagi mendapat jualan yang tinggi berbanding produk lain seperti kuih raya, kerepek dan dodol durian yang turut dijual di sini. Serunding yang dijual ini mampu bertahan lama dan boleh dimakan dengan ketupat, lemang dan nasi pada Hari Raya selain bubur lambuk,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Harga serunding asli dijual bermula daripada RM10 bagi 100 gram, RM20 (200 gram) dan RM50 (500 gram). Pelanggan akan menikmati harga istimewa jika mereka membeli serunding asli sebanyak 1kg.

“Bagi kuih raya pula, antara yang mendapat sambutan adalah tat nanas, batang buruk dan popia simpul,” katanya sambil memberitahu beliau memperoleh bekalan kuih raya dari Ipoh, Perak.

Sementara itu, seorang pelanggan, Sarah Hafizuddin, 35, mengakui menjadikan serunding berkenaan juadah wajib semasa sambutan Aidilfitri untuk dihidangkan kepada para tetamu.

“Saya sekeluarga memang meminati serunding yang dijual di sini dan bagi tahun ini pula, saya turut membeli beberapa peket untuk keluarga mentua saya di Kedah,” katanya.

Pesara kerajaan, Mustafa Abdul Halim, 60, sanggup datang dari Tapah, Perak bagi membeli serunding itu selepas mendengar tentang keenakan makanan itu daripada rakan-rakannya.

“Ini merupakan kali pertama saya membeli dan saya tidak sabar merasai kehebatan serunding ini seperti apa yang diceritakan rakan-rakan,” katanya.

TAGS