Shahrir nekad lepaskan kerusi Johor Bahru

Shahrir nekad lepaskan kerusi Johor Bahru

Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, mengesahkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan yakin dengan kemampuan pelapis Umno di bahagiannya mengambil alih.

Beliau yang juga Pengerusi Felda dipetik berkata, yakin pengundi di bandar raya itu matang membuat penilaian, pertimbangan dan pendekatan dalam memilih. Katanya, keputusan itu diambil kerana menganggap sudah sampai masa beliau berundur daripada politik.

“Kita perlu yakin kepada orang yang lebih muda meneruskan perjuangan. Saya selalu berkongsi dan menerapkan nilai murni kepada generasi muda kerana saya meneruskan apa yang berlaku terdahulu.

“Saya yakin mereka yang mengambil alih Johor Bahru akan meneruskan apa yang ada. Saya sudah melatih satu jawatankuasa kira-kira 30 orang termasuk Ahli Jawatankuasa Bahagian, Pemuda, Wanita dan Puteri,” katanya seperti dilapor BH online.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Cek kepada Sekolah Menengah/Rendah, Sekolah Agama, Tadika Kemas/Perpaduan, surau dan masjid dalam Parlimen Johor Bahru, di Dewan Raya Kampung Datuk  Onn Jaafar di sini, hari ini.

Seramai 125 pihak menerima sumbangan membabitkan peruntukan berjumlah RM416,500 pada majlis itu. Mengenai saranan kepada pemimpin veteran lain untuk memberi peluang kepada orang lain, Shahrir berkata, hanya mereka yang ‘tidak sedar diri’ mahu bertanding selama-lamanya.

“Takkan kita nak beri nasihat kepada pemimpin lain yang tidak habis-habis cakap penggal terakhir bertanding. “Mereka ini seperti tidak yakin dengan generasi muda. Anak sudah ada takkan sampai sudah bercucu baru nak yakin nilai yang mereka terapkan sudah diperturunkan.

“Malaysia berhak mendapat yang lebih baik. Jangan sebab politik dan kepentingan peribadi, kita tidak mahu bagi pada pelapis,” katanya.

TAGS