Shahrir pertahan Felda beli saham syarikat Indonesia

Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang baru dilantik, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mempertahankan langkah agensi itu membeli 37% ekuiti dalam PT Eagle High Plantations Tbk (EHP).

“Saya setuju dengan pembelian itu. Kami mendapat harga yang lebih baik daripada Felda Global Ventures Holdings Bhd (yang sebelum itu merancang untuk membeli saham berkenaan),” katanya.

Pada Jun tahun lepas, FGV mengumumkan rancangan untuk membeli 30% kepentingan dalam EHP pada AS$632 juta secara tunai dan 7% pegangan lagi melalui terbitan 95 juta saham baru FGV bernilai AS$48 juta, yang menjadikan nilai keseluruhan AS$680 juta atau RM2.89 bilion ketika itu.

Bagaimanapun rundingan berkenaan tidak berhasil.

Baru-baru ini, Felda menandatangani perjanjian dengan Rajawali Group untuk membeli 37% pada AS$505.4 juta (RM2.26 billion), 26% kurang daripada apa yang FGV rancang untuk membayar bagi EHP, antara syarikat minyak sawit terbesar Indonesia.

Meskipun harga yang lebih baik, terdapat kritikan Felda membeli saham EHP itu pada harga yang tinggi.

“Kita semua tahu untuk mendapatkan sejumlah besar saham (sedemikian) dalam sebuah syarikat perlulah membayar lebih daripada harga pasaran kerana penilaiannya bukan semata-mata berdasarkan harga saham, tetapi potensi dan pendapatan yang boleh datang dari ladang syarikat itu,” katanya.

Shahrir mempersoalkan jika ada yang boleh membeli 30% pegangan dalam syarikat perladangan seperti IOI Plantation, atau KL Kepong pada premium yang kecil.

“Jika ada boleh mendapatkannya, daripada membeli EHP, kami akan membeli IOI atau KLK. Bolehkah 30% pegangan pada premium yang kecil?” soalnya berseloroh.

Bulan lepas, Felda dalam satu kenyataan menjelaskan harga saham bukanlah kaedah penilaian yang diterima apabila membabitkan syarikat perladangan.

Harga saham itu mungkin tidak mencerminkan nilai sebenar EHP.

Penilaian yang diterima merupakan nilai perusahaan (EV) sehektar iaitu AS$16,000 EV sehektar dan inilah yang Felda bayar untuk kepentingan 37%.

Nilai ini adalah lebih baik jika dibandingkan dengan urus niaga lain baru-baru ini yang melibatkan syarikat minyak sawit Indonesia, katanya.

Shahrir percaya keputusan dan pembayaran dividen EHP yang dijangka dalam masa 6 bulan akan menolak semua kritikan itu.

Beliau juga berkata, pengambilalihan itu tidak akan memberi sebarang kesan terhadap hutang Felda memandangkan ia akan dibiayai kerajaan.

“Tidak, kami tidak akan meminjam. Ia akan dibiayai kerajaan. Kami hanya menjadi platform,” katanya.

Ketika ditanya mengapa pengambilalihan EHP begitu penting bagi Felda dan FGV, beliau berkata ia ada kena mengena dengan soal konsep usaha sama perniagaan di peringkat Asean dan mempunyai satu suara dalam soal minyak sawit.

Ini akan memberi kelebihan kepada Felda kerana Malaysia dan Indonesia menguasai antara 85 hingga 90% pasaran minyak sawit dunia.

Semasa ditanya sama ada Felda bersedia bagi pengambilalihan berkenaan, beliau berkata tumpuan Felda adalah kepada peneroka dan asetnya.

“Susun semula aset dan tengok balik pulangan. Kalau pulangannya tidak munasabah tetapi ada peningkatan nilai, kita jual. Kita tidak boleh begitu ‘sentimental’ pasal aset.”

Mengenai kerugian yang dialami beberapa anak syarikatnya, beliau yakin pihak pengurusan Felda mampu melakukan ataupun mematuhi tadbir urus.

“Usaha niaga dan kerugian itu adalah di peringkat anak syarikat misalnya projek jalur lebar dan penternakan ikan Sturgeon. Saya pun terkejut kenapa Felda ada (projek) jalur lebar. Kalau kita pakat dengan Telekom Malaysia pun lebih murah.

“Felda akan lebih tegas pada masa hadapan,” katanya.

TAGS