Shazni dilepas reman awal sehari

Shazni dilepas reman awal sehari

Protes di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya semalam mendesak Shazni Munir Mohd Ithnin dibebaskan dilihat sebagai faktor pelepasan awal Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional itu.

Peguam Biro Undang-undang Amanah (Kanun), Wan Anwar Wan Ibrahim berkata demikian ketika mengulas proses pelepasan Shazni daripada tahanan reman secara jaminan polis pada 3.40 petang hari ini.

“Saya turut memuji tindakan Pemuda Amanah Nasional dan rakan-rakan Pemuda Pakatan Harapan yang telah berhimpun secara aman di IPD Putrajaya pada malam tadi (11 Jun) bagi mendesak supaya Shazni dilepaskan dengan lebih awal.

“Desakan tersebut juga mungkin menjadi salah satu faktor terhadap pelepasan awal Shazni,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak polis kerana telah mempertimbangkan permintaannya supaya proses siasatan dapat dilakukan pada kadar segera walaupun tempoh reman adalah selama empat hari.

“Saya telah dimaklumkan oleh pagawai penyiasat bahawa tempoh satu minggu yang diberikan adalah untuk pihak polis menyempurnakan kertas siasatan sebelum dibawa ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sehubungan itu, Wan Anwar yang juga Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional mendesak supaya pihak polis turut menyiasat laporan polis yang dikemukakan Pemuda Amanah Nasional terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 30 Mei lalu.

Turut berada di IPD Putrajaya hari ini adalah Naib Presiden Amanah, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus dan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Sany Hamzan selain isteri dan keluarga Shazni.

TAGS